Rani Kulup Terima Ugutan Bunuh

SHAH ALAM ― Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), yang terkenal dengan pakaian seragamnya sewaktu ke balai, mengakui pernah menerima ugutan bunuh kerana aktif membuat aduan polis.

 

Abdul Rani Kulup Abdullah, 61, yang sering membahasa dirinya “Ayah”, bersyukur sehingga kini masih selamat kerana mengamalkan doa dan ayat-ayat al-Quran sebagai pelindung.

 

“Ayah sudah banyak kali terima ugutan orang hendak bunuh Ayah tetapi perkara ini Ayah tidak hebahkan kerana Ayah sendiri pergi ke balai dan selesaikan.

 

“Satu Ayah hendak ingatkan bahawa doa itu penting, senjata Ayah ialah ayat al-Quran iaitu al-Fatihah, surah tiga Qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas), dan ayat Kursi.

 

“Lagipun ayah bukan ada pistol, ayat-ayat itu sahaja menjadi senjata ayah,” katanya, yang dikenali juga daripada ringkasnya namanya Arka, seperti dilapor portal Sinar Online.

 

Tambahnya, yang suatu waktu popular dengan slogan “Kipidap”, tugasnya sebagai pengadu tidak sia-sia dan menampakkan hasil apabila berjaya membantu polis menyelesaikan beberapa kes.

 

“Ayah sudah selesaikan beberapa kes dan ada kalanya Ayah telah menjadi saksi kes yang Ayah laporkan itu.

 

“Dan alhamdulillah selesai, lagi satu bagi Ayah kerja Ayah ini tidak kacau sesiapa, tidak mencuri, tidak pukul orang, cara NGO Ayah bekerja,” katanya.

 

Baru-baru ini beliau buat pertama kali muncul dalam filem komedi “Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi”, arahan Eyra Rahman yang diterbitkan oleh MIG Pictures. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.