Polis Serbu Makmal, 
Rampas Dadah RM2.6j

PULAU PINANG – Kegiatan makmal dadah di negeri ini seakan-akan tidak berkesudahan apabila sebuah lagi berjaya dikesan melalui operasi khas yang dilancarkan polis malam tadi.

 

Dalam serbuan pertama oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, pada pukul 11 malam, sepasang suami isteri yang menjadi dalang kepada kegiatan itu berjaya diberkas.

 

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya turut merampas serbuk pil kuda sebe­rat 3,760 gram, bahan disyaki syabu (1500 gram), bahan disyaki heroin (1000 gram) serta syabu dan ketamin.

 

“Pemeriksaan turut menemukan sepucuk pistol angin, kelopak peluru dan bahan-bahan kimia serta peralatan yang dipercayai untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

 

Katanya, soal siasat terhadap pasangan itu yang masing-masing berusia 50 dan 47 tahun kemudian membawa kepada rampasan sejumlah dadah di Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 3 pagi ini.

 

“Di situ, polis berjaya merampas 21 gram syabu dan 40 biji pil ekstasi serta menahan seorang lelaki,” katanya.

 

Abdul Rahim memberitahu, nilai rampasan untuk kedua-dua serbuan berkenaan mencecah RM2.6 juta termasuk menyita beberapa buah kenderaan milik suspek.

 

Katanya, dadah yang diproses di situ dipercayai untuk pasaran kawasan utara dan beroperasi sejak enam bulan lalu.

 

“Seorang suspek turut memiliki rekod berkaitan kes dadah. Kes tangkapan serta rampasan malam tadi itu disiasat mengikut Seksyen 398 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bagi kesalahan memiliki pistol pula katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.