Pengawal Keselamatan Mengamuk: Seorang Maut Ditikam

Johor Bahru – Seorang pengawal keselamatan sebuah bank mengamuk mengakibatkan seorang pegawai bank terbunuh manakala seorang lagi cedera.

 

Pegawai bank terbabit yang berusia 33 tahun maut, selepas ditikam pengawal keselamatan yang bertugas di bank berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di Taman Molek, di sini, hari ini.

 

Manakala seorang lagi kakitangan wanita bank berkenaan cedera parah selepas dilibas menggunakan senjata tajam oleh pengawal keselamatan terbabit, lapor portal New Straits Times (NST) Online.

 

pengawal bank mengamuk 2

Pengawal keselamatan berusia 40-an yang mengamuk itu bagaimanapun tidak melarikan diri selepas kejadian dan ditahan polis di tingkat satu bank tersebut.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Abdul Samad Salleh, anggota polis tiba di tempat kejadian pada jam 3.50 petang selepas menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian amuk di bank itu.

 

“Anggota polis bertindak menahan suspek dan menghantar mangsa yang cedera ke hospital bagi mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa yang maut dihantar untuk dibedahh siasat,” katanya ketika ditemui di luar bank berkenaan.

 

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu daripada suspek.

 

“Kami masih sedang menyiasat motif kejadian,” sambil memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.