Pecut Kereta Bocor 150km, Selepas Ditembak Polis

Kuala Lumpur – Walaupun tayar bocor akibat ditembak polis, namun dua penjenayah yang mencuri kereta mewah model Nissan Skyline masih mampu melarikan kenderaan itu lebih 150 kilometer (km).

 

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, kereta suspek ditembak polis di hadapan sebuah restoran di Batu 1, Jalan Kapar, Klang di sini, sebelum ditemui ditinggalkan suspek di Jasin, Melaka.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan restoran.

 

Menurutnya, anggota Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) mendekati kenderaan itu sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.

 

“Suspek cuba merempuh pegawai dan anggota polis yang melakukan serbuan itu,” katanya.

 

“Tindakan agresif suspek menyebabkan pasukan polis melepaskan beberapa das tembakan pada tayar kenderaan itu. Bagaimanapun, dua penjenayah terbabit meloloskan diri,” katanya.

 

Dia berkata, kenderaan penjenayah itu ditemui ditinggalkan di Bemban, Jasin, Melaka, jam 4 pagi semalam.

 

“Pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan itu juga menemui peralatan menghisap dadah dan beberapa telefon bimbit,” katanya.

 

Menurutnya, semakan lanjut terhadap kenderaan itu mendapati kereta berkenaan dilaporkan disamun dalam di Damansara, di sini, beberapa bulan lalu.

 

“Biarpun dua suspek itu masih belum diberkas, usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

 

“Kami (polis) percaya akan dapat memberkas mereka dalam tempoh terdekat,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh. -Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.