Krisis Najib-Mahathir: Mukhriz Adakan Perjumpaan Dengan Adun Kedah

Alor Setar – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mengadakan satu perjumpaan tergempar bersama semua Ahli Dewn Undangan Negeri (Adun), Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Menteri Besar, pada Sabtu petang.

 

Menurut sumber mesyuarat itu bagi membincangkan pendirian yang bakal diambil berhubung serangan Tun Dr Mahathir terhadap pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

“Saya antara dijemput untuk menghadiri perjumpaan yang akan diadakan di rumah Menteri Besar itu pada pukul 12.00 tengah hari, namun atas sebab-sebab tertentu saya tidak akan hadir dalam perjumpaan esok.

 

“Saya dimaklumkan, selain semua Adun BN turut dijemput sebahagian dari Ketua Umno Bahagian dan ahli parlimen” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya itu turut berkata, tidak semua Ketua Bahagian Umno dan ahli Parlimen BN yang dijemput.

 

Sementara itu Adun Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya ketika dihubungi berkata tidak dimaklumkan mengenai perjumpaan tersebut.

 

“Sehingga kini saya tidak mendapat sebarang maklumat (mungkin) tidak di jemput dalam perjumpaan tersebut” ujarnya ringkas.

 

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Azimi Daim ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai perjumpaan tersebut.

 

“Perjumpaan bersama Adun itu diadakan secara tertutup dan semua wakil pihak media tidak dijemput.

 

“Saya pun tak tahu apa agenda yang akan dibincangkan, ia hanya perjumpaan biasa,” tegasnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Kepimpinan Sayap Umno Negeri Kedah semalam mendesak Muhkriz agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung konflik yang melanda itu.

 

Ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam satu kenyataan bersama berkata tiada keperluan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung konflik tersebut kerana ingin menjaga keharmonian politik di peringkat negeri.

 

Terdahulu Mukhriz meminta semua Ketua Umno Bahagian, Ahli Parlimen dan Adun bersabar dan tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung sokongan kepada kepimpinan Najib.

 

 

Menurut Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, kenyataan rasmi mengenai perkara itu akan dikeluarkan pada 24 April ini selepas satu mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri diadakan di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.