IS Malaysia Ancam Letupkan Kilang Arak Di Shah Alam?

Shah Alam – Kilang arak Carlberg di kejutkan dengan ancaman bom yang diterima daripada individu yang dipercayai ahli kumpulan militan Negara Islam (IS) Irag dan Syria dalam satu kejadian di sini petang semalam.

 

Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV sebentar tadi, seorang lelaki yang tidak dikenali telah berjumpa dengan ketua pengawal keselamatan dan menggugut mereka agar segera mengosongkan kilang tersebut.

 

“Seorang lelaki berketurunan Melayu telah berjumpa dengan pengawal dan mengarahkan agar kilang arak itu dikosongkan sebelum Ramadhan.

 

“Menurut lelaki tersebut kegagalan mereka (Carlsberg Malaysia) untuk berbuat demikian akan menyebabkan semua pekerja di tembak dan kilang tersebut diletupkan” ujarnya yang enggan mendedahkan identiti kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurutnya ekoran ancaman tersebut Pengurus Kanan kilang telah membuat laporan di Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25 bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

 

“Laporan itu dibuat kerana bimbang akan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap keselamatan kilang dan pekerja” ujarnya lagi.

 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Aziz Man walau bagaimanapun gagal untuk dihubungi bagi mengesahkan mengenai kejadian itu.

 

Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM Bukit Aman dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, militan IS sedang merancang untuk menyerang negara ini.

 

Ia berdasarkan laporan dan risikan yang dilakukan mengenai rakyat Malaysia yang turut sama menyertai kegiatan militan itu di Iraq dan Syria.

 

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut memberi amaran supaya orang awam tidak mempersoalkan Islam dan hudud kerana ia akan mengundang tindak balas daripada kumpulan militan bersenjata itu.

 

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah membuat komen berhubung perkara itu bagi mengelakkan reaksi daripada penyokong kumpulan itu.

 

“Jadi saya ingin mengingatkan orang kita yang terus membuat komen-komen berkenaan agama Islam, tentang hudud, jangan buat sebarangan komen, Kamu undang tindak balas daripada penyokong IS,” katanya.

 

Beliau berkata Malaysia mendapat ancaman daripada IS dan laporan risikan menunjukkan mereka merancang untuk membuat serangan.

 

 

 

LAPORAN LANJUT MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.