Bumi Adalah Masjid

PERKATAAN masjid berasal daripada ‘sajada-yasjudu’ bererti sujud, kemudian membentuk kata ‘masjid’ yang bererti tempat sujud. Segala sesuatu di tempat sujud untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT disebut masjid.

 

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Al-ardhu masjid (bumi adalah masjid).” Dengan demikian, bumi ini bersih dan dapat digunakan untuk bersujud.

 

Lihatlah seorang petani solat dan sujud di atas permatang sawah, seorang nelayan solat dan sujud di atas pasir pantai atau sampan/kapal, seorang tukang kebun solat dan sujud di halaman kebunnya menghadap kiblat sama dengan orang yang sujud di atas sajadah di rumah atau di masjid.

 

Masjid dalam al-Quran

 

Masjid dalam perspektif al-Quran bukan hanya difokuskan kepada bangunan untuk beribadah bagi umat Islam semata. Peristiwa Israk dan Mikraj juga melibatkan dua masjid, sebagaimana disebutkan dalam al-Quran iaitu dalam Surah Al-Israk yang menjelaskan mengenai

 

Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Palestin yang sehingga kini belum memiliki bangunan khusus seperti sekarang.

 

Masjidil Haram adalah pelataran Kaabah dan Masjidil Aqsa adalah sebongkah batu besar yang biasa disebut ‘batu tergantung’ kerana dimitoskan batu itu ingin menyertai Nabi Muhammad SAW ke Sidratul Muntaha. Kini batu besar itu berada dalam bangunan masjid di kompleks al-Aqsa.

 

Dalam perspektif ahli tarekat, badan manusia juga boleh disebut pakaian, tempat tinggal, sekali gus sebagai tempat sujud (masjid) dimensi batin manusia, seperti kalbu, jiwa, akal dan roh manusia.

 

Bahkan dalam perspektif ilmu hakikat, badan biasa disebut ‘Bait ALLAH’ atau (Rumah Tuhan) kerana dalam badan manusia tempat roh yang dianggap sebagai unsur suci Tuhan, sebagaimana firman ALLAH SWT: “Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke dalamnya roh-Ku”. (Surah Al-Hujurat: 29)

 

Badan sebagai ‘Bait ALLAH’ (Baitullah) adalah nama lain Kaabah atau kiblat umat Islam dalam melaksanakan sejumlah ibadah seperti solat. Kaabah juga sekali gus sebagai objek tawajuh, sebagaimana selalu kita ikrarkan dalam doa iftitah (Sesungguhnya solatku, urusanku, dan hidupku serta matiku hanya untuk Tuhan semesta alam).

 

Badan manusia dianggap sebagai Baitullah atau Kaabah secara maknawi, dianalogikan dengan Arasy iaitu singgahsana Tuhan. Baitul Makmur iaitu miniatur Arasy yang khusus dibangunkan Tuhan untuk malaikat setelah menyedari kelancangannya mempertanyakan kebijaksanaan Tuhan dan Kaabah miniatur Baitul Makmur yang dibangunkan malaikat untuk Adam serta isterinya setelah melanggar larangan di syurga.

 

Bersihkan kotoran

 

Badan sebagai pakaian, tempat tinggal dan masjid, apa lagi dianalogikan Baitullah atau Kaabah. Sudah tentu harus bersih daripada dosa. Pembersihan badan bukan hanya membersihkannya daripada kekotoran dengan cara berwuduk, tayamum atau mandi dengan menggunakan air, sabun atau syampu, tapi juga harus dipelihara kebersihannya daripada noda, seperti juga terhadap dosa dan kemaksiatan.

 

Dalam kalangan ulama tarekat berpendapat berdasarkan firman-Nya: “Bersihkanlah pakaianmu. Tinggalkanlah perbuatan dosa.” (Surah Al-Muddathir: 3-4)

 

Dimaksudkan dengan pakaian di sini bukan hanya baju di badan, tetapi pakaian atau selimut dimensi batin. Cara pembersihannya tentu bukan hanya membersihkan kekotoran fizik, tetapi juga dengan kekotoran dosa kemusyrikan.

 

Musyrik bermaksud menyembah Tuhan selain ALLAH iaitu mempercayai bahan atau perkara tertentu selain ALLAH, yang diyakini mampu menentukan nasib seseorang.

 

Dalam pandangan al-Quran, sebagaimana ditafsirkan kalangan ahli tarekat, kemusyrikan adalah najis. ALLAH berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram.” (Surah At-Taubah: 28)

 

Maksud syirik ialah percaya kepada sesuatu selain ALLAH sebagaimana disebutkan dalam al-Quran: “Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan ALLAH membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya serta ALLAH telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan di atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah ALLAH (membiarkannya sesat). Mengapa kamu tidak mahu ingat?” (Surah Al-Jathiyah: 23)

 

Jenis kekotoran berupa dosa atau maksiat maka penyuciannya dengan sesuatu yang bukan fizik, yang biasa disebut dengan air hakikat iaitu ilmu pengetahuan. Sebagaimana Nabi SAW menyebut: “Air adalah ilmu ALLAH.”

 

Dengan demikian, seseorang yang mendapat anugerah makrifah ALLAH bukan sahaja mendapatkan ilmu yang amat penting, melainkan juga membersihkan dirinya daripada dosa. Perbuatan dosa manusia harus dibersihkan dengan air atau tanah dan disucikan dengan air hakikat (makrifah ALLAH).

 

Hakikat masjid bukan hanya masjid atau musalla dalam pandangan ilmu tarekat dan ilmu hakikat, tetapi keseluruhan alam (al-khaliq) ini adalah masjid kerana boleh fokus untuk sujud, beribadah dan bertawajuh kepada ALLAH.

 

Badan sebagai penyimpan atau tempat tinggal berbagai kekotoran, harus betul-betul dibersihkan, disucikan, dihayati. Inilah makna hadis yang sering dikutip dalam kitab tasawuf: “Barang siapa mengenal dirinya maka ia akan mengenal Tuhannya.”

 

Masjid dalam perspektif Islam juga diertikan sebagai tempat belajar/ngaji al-Quran, madrasah, pendidikan mental dan fizikal, pembangunan sosial dan masyarakat, seperti zakat, majlis akad nikah, solat jenazah dan sebagainya.

 

Masjid di negara kita banyak yang musnah dilanda banjir Disember 2014. Rata-ratanya memerlukan bantuan dan pertolongan daripada semua pihak. Dalam kalangan masyarakat melancarkan program ke arah matlamat tersebut dengan semboyan dan moto: “Kitakan Islam,

 

Buat kerana ALLAH.” Suatu program yang wajar disokong dan dipuji kita semua.

 

Sebaliknya masjid sebagai ‘Rumah ALLAH’ tidak semestinya dijadikan sasaran untuk ceramah ideologi politik yang boleh menjejaskan nilai masjid dan mendatangkan laknat dan kutukan-Nya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.