Abang ‘Sado’ Mudah Menangis & Gementar Peluk Wanita

Ketika di awal penglibatanya dalam dunia lakonan, pelakon ‘sado’ Fahrin Ahmad mengakui jika dituntut melakonkan babak menangis, ia cukup merisaukannya.

 

Malah, ia dianggap antara cabaran besar buat dirinya. Namun, pujian harus diberikan kepada pelakon kacak ini menerusi filem terbaharunya, Pilot Cafe, bukan hanya menangis tetapi membuatkan penonton rasa tersentuh sehingga turut sama mengalirkan air mata.

 

Menurut Fahrin, dia sendiri tidak menyangka mampu melakonkan adegan menangis tersebut dengan baik.

 

Selain menerapkan teknik lakonan, pengalaman yang pernah dilalui membantunya lebih menjiwai dan menhayati rasa kesedihan tersebut.

 

“Saya rasa semua lelaki ada sudut halus dan feminin dalam diri masing-masing, mungkin ramai yang susah mengaku sebab nak jaga ego.

 

“Selain tu, tipulah kalau saya kata saya tak imbas pengalaman lalu dan kaitkan dengan watak yang saya hidupkan itu. Pengalaman hidup bantu saya untuk lebih menjiwai karakter saya.

 

“Kalau masa awal-awal berlakon dulu, memang menangis merupakan satu cabaran besar pada saya.

 

“Ketika itu saya masih dalam 20-an, pengalaman pun belum luas tetapi untuk watak kali ini pada usia 34 tahun, saya sudah lalui lebih banyak pengalaman dalam hidup.

 

“Saya juga harus beri kredit pada Osman Ali kerana beliau seorang pengarah yang pandai mencukil perasaan dan apa yg diinginkan daripada pelakon-pelakonnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem adaptasi novel terlaris nukilan Ahadiat Akashah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Pilot Cafe yang bakal ditayangkan dipawagam mulai 30 April ini menyaksikan Fahrin memengang watak Ameer Reza, seorang juruterbang yang mempunyai sikap suka berfoya dan kemudian insaf setelah kehilangan orang tersayang.

 

Begitupun, Fahrin menyatakan dia sangat gementar apabila terpaksa melakonkan karakter seorang lelaki kasanova lebih-lebih lagi babak intim serta berpelukan dengan wanita.

 

“Sewaktu dapat tawaran, saya ada bertanya dan meminta pandangan rakan lelaki saya mengenai filem ini dan juga watak yang saya perlu lakonkan.

 

“Rata-rata mereka gembira dan memberi semangat agar saya terima tawaran tersebut kerana rupanya mereka pun baca novel ini.

 

“Namun, saya sangat gementar bila kena lakonkan babak berfoya-foya dan adegan berpelukan. Walaupun gementar saya sedaya upaya elak untuk buat adegan itu berulang kali.

 

“Jadi, apabila masuk set, saya buat sehabis baik supaya pengarah tak minta saya ulangi lagi babak tersebut”, katanya sambil tertawa kecil.

 

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Neelofa dan Izarah Aishah pula, Fahrin menyatakan dia sangat senang dengan dua aktres yang disifatkannya sebagai pelakon yang cukup komited.

 

Katanya, tidak sukar membina keserasian dengan dua jelitawan itu kerana elemen itu wujud sepanjang menjayakan filem tersebut.

 

Terlanjur bercerita ‘kesersiaan dengan heroin’, baru-baru ini timbul gosip Fahrin asyik dilamun cinta dengan pelakon Izreen Azminda ekoran sekeping gambar mesra mereka berdua tersebar di media sosial.

 

“Tentang itu saya anggap ia klise sebab setiap kali digandingkan dengan mana-mana heroin, mesti timbul gosip kata kami bercinta.

 

“Apatah lagi zaman sekarang dengan adanya media sosial, lagi mudah timbul macam-macam spekulasi.

 

“Soal bergambar bersama tiada masalah asalkan tidak keterlaluan tetapi apa yang boleh saya katakan, impak antara sebuah gambar dan visual yang bergerak pasti akan memberi persepsi yang berlainan

 

“Misalnya, kalau ada satu gambar menunjukkan saya riba seorang perempuan, sudah pasti saya akan dikritik tetapi jika ia visual bergerak menunjukkan aksi saya riba seorang perempuan, persepsi atau tanggapan mengenai perkara itu juga mungkin sudah jadi berbeza,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.