SEPANG — Dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan khas berjumlah RM24,400 kepada 90 orang anak yatim, ibu tunggal dan asnaf di sekitar Sepang bersempena bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata pihaknya berharap bantuan tersebut memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan serta membantu dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
“YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar dan YBR akan sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan lagi bantuan-bantuan yang seumpamanya.
“Usaha ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan malahan diharapkan menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk turut sama menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, bantuan khas yang telah dikenalpasti melalui Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Masjid Kuarters KLIA ini juga mampu memberi kelegaan serta membantu dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.
“Semoga lebih banyak program- program sebegini dapat diadakan dan sekaligus merapatkan lagi ukhuwah di antara organisasi luar dengan masyarakat di Sepang ini.
“Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000.00 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dari kalangan B40,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ringkas penyerahan bantuan ini Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.