Senator Republikan, Demokrat Tolak Dakwaan Telefon Trump Diintip

Anggota Jawatankuasa Perisikan Senat AS mengeluarkan kenyataan bersama Khamis menolak dakwaan Presiden Donald Trump bahawa pentadbiran Obama mengintip-dengar telefonnya semasa kempen presiden 2016.

Speaker Dewan Kongres, Paul Ryan dari Republikan, juga sehaluan dengan kenyataan para penggubal undang-undang bahawa tiada tanda-tanda yang menunjukkan ianya berlaku.

Dalam satu sesi taklimat kepada media, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer tetap mempertahankan dakwaan Trump itu, dengan memetik laporan media yang telah membincangkan mengenai pengumpulan risikan tentang kemungkinan wujud hubungan antara sekutu Trump dan Rusia dalam kempen.

“Tidak dapat dipersoalkan bahawa memang terdapat teknik-teknik pengawasan yang digunakan semasa itu,” kata Spicer.

Trump menuduh Obama berbuat demikian semasa peringkat akhir kempen, tetapi tiada memberi sebarang bukti. Obama berkata melalui seorang jurucakap bahawa tuduhan itu adalah “palsu semata-mata.”

“Berdasarkan maklumat yang ada pada kami, kita tidak nampak tanda-tanda bahawa Trump Tower menjadi sasaran pengintipan oleh sebarang elemen kerajaan Amerika Syarikat sama ada sebelum atau selepas hari pilihan raya 2016,” kata Pengerusi Republikan Richard Burr dan Senator Demokrat Mark Warner, naib pengerusi jawatankuasa itu, dalam satu kenyataan.

Ryan juga berkata bahawa tiada tanda berlaku pengintipan itu.

Ryan memberitahu pemberita bahawa jawatankuasa risikan dalam siasatan berterusan mereka mengenainya, mendapati tiada ada tanda-tanda wujud tindakan pengintipan itu.

Diasak dengan soalan sama ada Trump akan menarik balik tuduhan tentang pengintipan telefon itu, Spicer berkata: “Pendiriannya tidak berubah.”

Spicer juga menyelar media kerana memberi terlalu banyak tumpuan terhadap komen yang mempersoalkan dakwaan Trump mengenai berlaku pengintipan tersebut.

Katanya, wartawan telah tidak memberi tumpuan yang secukupnya terhadap komen dari pegawai yang menafikan wujudnya sebarang pakatan sulit antara Rusia dan kempen Trump.
Kerajaan Rusia telah menyangkal tuduhan agensi perisikan AS bahawa ia bekerjasama untuk mempengaruhi pilihan raya supaya memihak kepada Trump, antaranya, dengan menggodam sistem komputer.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.