Keluarga Bersyukur Doa Dimakbulkan

BATU PAHAT – “Patut pun dalam minggu ini, perasaan rindu teramat sangat terhadap arwah Kak Wati (Sosilawati) menebal dalam hati, hari-hari saya teringatkan dia,” kata Rosnani Lawiya, 52, adik kepada jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati yang mati dibunuh dengan kejam tujuh tahun lalu.

Rosnani, adik paling rapat dengan arwah berkata, mereka sekeluarga berpuas hati setelah pembunuh kakak kesayangannya itu, menerima pembalasan sewajarnya.

Katanya, mereka juga bersyukur kerana doa untuk mengetahui pembunuh sebenar arwah akhirnya dimakbulkan.
“Setelah mengetahui pembunuh Kak Wati terima hukuman gantung sampai mati, kami bercadang mengadakan kenduri kesyukuran.

“Dan jika anak-anak arwah setuju, kami di kampung asal arwah ingin kebumikan apa yang tinggal termasuk gigi arwah di sini, kerana ibu arwah masih hidup dan menetap di sini,” katanya di rumahnya di Kampung Seri Menanti, Sri Medan, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya ke tali gantung juga…]

Rosnani berkata, dia dan arwah bagaikan isi dengan kuku kerana sentiasa bersama dari kecil sehinggalah masing masing berumah tangga, hubungan itu tidak pernah lekang.

Menurutnya, sejak kakak kesayangannya hilang, keadaan kesihatan ibu mereka semakin teruk, kerap termenung dan kini hilang ingatan.

“Kali terakhir saya dapat bercakap dengan Kak Wati ialah beberapa jam sebelum dia pergi menemui pembunuhnya, peguam, N Patmanabhan.

“Kira kira sejam setengah juga saya berbual dengan arwah melalui telefon, dan arwah beritahu ingin mengambil duitnya daripada Patmanabhan.

“Memang sah mereka pelakunya. Sejak 2010 hingga sekarang, memang saya berdoa ALLAH SWT menghukum pelakunya sama seperti mereka membunuh kakak saya.

“Keluarga sudah lama reda dengan kematian Kak Wati dan keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka terbabit, memang tepat,” katanya.

Sementara itu, suami Rosnani, Misjan Jamikun, 55, berkata, sejak kejadian, bahunya ibarat menanggung beban amanah dan tanggungjawab untuk keadilan Allahyarham.

“Malah semalam (kelmarin), anak arwah meminta keluarga mendoakan supaya kemenangan berpihak kepada ibu mereka menerusi WhatApps,” katanya.-SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.