India Bakal Laksana GST Pada Kadar 17 Peratus

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukan suatu pengasingan, malah ia sebaliknya telah menjadi pemangkin kepada negara India untuk turut melaksanakan sistem cukai serupa, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara itu melalui percukaian bermula Oktober ini.

 

Dalam satu laporan yang disiarkan oleh media di India, mengatakan negara itu merancang melaksanakan GST pada kadar standard, iaitu sebanyak 17 peratus dan 12 peratus kepada barang-barang yang tertentu, dan berharap agar Rang Undang-undang tersebut diluluskan pada sesi kedua pembentangan di Parlimen yang akan berlangsung dari 25 April hingga 13 Mei.

 

Menurut Menteri Kewangannya, Arun Jaitley berkata, GST boleh menggantikan pelbagai cukai melalui cukai tunggal yang disatukan, justeru memudahkan rejim cukai tidak langsung yang terdapat di India, malah sekiranya kutipan GST lebih efisyen berbanding sistem sedia ada , maka ia dapat meningkatkan GDP negara India kepada satu ke dua peratus.

 

“Harapan untuk mendapatkan Kod Kebankrapan dan Rang Undang-Undang GST diluluskan pada separuh kedua sesi Parlimen.

 

“Apa yang masih dalam proses untuk dilaksanakan ialah kita cuba untuk meringankan beban bagi orang-orang yang menjalankan perniagaan di India,” kata Jaitley.

 

Dalam pada itu, Jaitley menjelaskan bahawa pelaksanaan GST akan membawa kepada pasaran tunggal bagi barangan, manakala undang-undang mengenai kebankrapan pula akan membantu syarikat-syarikat untuk mencari jalan keluar dalam perniagaan dengan lebih mudah.

 

Minggu lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Aadhaar, yang menyediakan sokongan berkanun dengan nombor pengenalan yang unik, dan akan membantu dalam pengurusan subsidi dan faedah. Rang undang-undang hartanah juga telah diluluskan oleh Rajya Sabha.

 

Sementara itu, kerajaan India telah pun menyatakan kesediaan mereka untuk berdepan dengan GST sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan di Parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.