Tiga Warga Myanmar Ditemui Mati Selepas Berpesta

Cheras – Tiga lelaki warga Myanmar ditemui maut dengan kesan tetakan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Tanah Perkuburan Kristian di Jalan Kuari Off Jalan Cheras, di sini.

 

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian itu, tiga lelaki bersama beberapa rakannya dilihat sedang minum minuman keras di tanah perkuburan itu sebelum berlaku pertengkaran hingga menyebabkan kematian.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, pekerja tanah perkuburan tersebut terkejut apabila menemui tiga mayat dalam keadaan terlentang dan kesan tetakan.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mayat yang dipercayai warga Myanmar itu ditemui di tiga lokasi berasingan iaitu kira-kira 30 meter di antara satu sama lain.

Menurutnya, semua mangsa yang berusia 20 an itu ditemui luka di bahagian muka, kesan tetakan di belakang badan jari yang hampir putus.

 

“Kami percaya mereka ini dari kawasan berhampiran kerana ada perkampungan warga Myanmar kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

 

“Pemeriksaan polis menemui dompet dan matawang rupiah, tin munuman keras dan lilin di tempat kejadian, namun tiada senjata ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Zainuddin berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang dipercayai terlibat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.