Syed Rosli Nafi Syor Bunuh PM

Kuala Lumpur – Bekas calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Syed Rosli Jamalulail menafikan tulisan yang mengunakan akaun Facebooknya baru-baru ini bertujuan untuk ‘membunuh’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Beliau ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi berkata kenyataan tersebut bukan ditujukan kepada mana-mana individu.

 

“Betul, memang saya tulis kenyataan tersebut, tapi ia tidak ditujukan kepada sesiapa.

 

“Awak sepatutnya menghubungi saya dahulu sebelum mengeluarkan sebarang laporan berita, tambahan pula status yang dimuatnaik di Facebook itu telah dipadamkan,” ujarnya.

 

Ketua Penerangan UMNO Cawangan itu turut mengesa SuaraTV untuk menarik kembali laporan berita tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana dikatakan cuba memfitnah beliau.

 

“Saya minta kerjasama SuaraTV untuk tarik balik laporan tersebut sebelum pukul 12.00 tengah malam ini, atau berdepan dengan tindakan saman. Saya akan menghubungi peguam saya esok pagi untuk melihat peruntukan undang-undang yang boleh diambil untuk melindungi diri saya.

 

“.. status FB itu telah dipadamkan dan kalau saya nafikan kenyataan itu ditulis oleh saya, awak nak buat apa?

 

“Awak kena faham, sebagai orang politik saya mempunyai ramai musuh… disebabkan laporan berita yang dikeluarkan oleh SuaraTV ramai blogger telah mengambil kenyataan tersebut dan menuduh saya ingin membunuh PM” katanya lagi walaupun telah dimaklumkan laporan berita tersebut dibuat berdasarkan kenyataan yang ditulis oleh beliau tanpa ada sebarang eleman penambahan atau sengaja direka cipta.

 

Sementara itu melalui e-mail yang dikirimkan oleh Syed Rosli kepada SuaraTV sebentar tadi, beliau turut menggesa agar satu kenyataan maaf dibuat berhubung isu tersebut.

 

Syed Rosli sebelum ini menulis perjuangan menentang Perdana Menteri, adalah merupakan satu jihad.

 

 

Memetik laporan portal myKMU, beliau dilaporkan berkata mereka yang mati ketika melakukan penentangan itu boleh dianggap syahid.

 

 

“Perjuangan menentang Najib adalah Jihad Fisabilillah dan kalau mati pun syahid. Allahuakbar” komennya melalui status Facebook yang dimuatnaik oleh Ahmad Rais Johari baru-baru ini.

 

 

Menurut Syed Rosli status tersebut telah  dipadamkan tidak lama kemudian apabila isu mengenainya mula tersebar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.