Sting Tumpas Dua Geng Kongsi Gelap Di Kedah

SUNGAI PETANI – Dua geng kongsi gelap 04 dan 36 di daerah ini berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya mastermind yang menjadi dalang kepada kegiatan pengedaran dadah selain rampasan harta mencecah RM610,300 turut disita.

 

Timbalan Komander II Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (Sting) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Wahid berkata, hasil intipan yang dijalankan selama lima bulan, polis berjaya menahan enam lelaki iaitu dua daripadanya dipercayai ketua geng 04.

 

Menurutnya, selain ketua berusia 26 dan 32 tahun yang ditahan 12 Mac lalu, pasangan dua beranak iaitu bapa dan anak serta suami isteri turut ditangkap di lokasi berasingan beberapa jam selepas itu.

 

“Serbuan ke atas ketua geng 04 turut menemui dadah jenis heroin anggaran seberat 5.4 kilogram bernilai RM120,000 yang dipercayai bekalan untuk diedarkan kepada penagih sekitar daerah ini bagi tempoh seminggu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.

 

Sementara itu, katanya, hasil intipan seterusnya membolehkan serbuan dijalankan di Sungai Division, Bukit Selambau di mana bapa dan anak berusia 26 dan 53 tahun yang dipercayai anggota geng 36 ditahan.

 

“Siasatan mendapati bapa berusia 53 tahun memiliki rekod kesalahan lampau bersabit cubaan membunuh Seksyen 304 Kanun Keseksaan manakala anaknya berusia 26 tahun mempunyai rekod berhubung Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

 

“Susulan tangkapan itu, Sting dengan bantuan anggota Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan IPD Kuala Muda yang menjalankan Ops Sarang turut menahan sepasang suami isteri berusia 33 dan 35 tahun di Taman Seri Wang, Sungai Petani,” katanya.

 

Beliau berkata, hasil siasatan seterusnya turut menemui wang tunai RM16,300, sembilan kereta termasuk kenderaan mewah dan dua motosikal, barang kemas, televisyen, rumah dan harta lain dianggarkan bernilai RM610,300, dipercayai hasil kegiatan kongsi gelap terbabit.

 

“Kita dapati geng 04 paling aktif di Kuala Muda di mana empat lokasi yang mempunyai bilangan penagih yang ramai dikenal pasti di Sungai Division, Padang Lembu, Sidam dan Bukit Selambau,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.