Pesawat Airbus Ganti Boeing Business Jet Yang Berusia 16 Tahun – JPM

Kuala Lumpur – Jabatan Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) dibeli untuk menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang telah berusia 16 tahun.

 

JPM dalam satu kenyataan di sini berkata kerajaan memperoleh ACJ320 melalui kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun.

 

Pesawat BBJ itu akan dilupuskan bagi membiayai pembelian ACJ320.

 

Kenyataan itu bagi menjawab tuduhan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli di Parlimen hari ini bahawa ACJ320 itu untuk kegunaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurut JPM, pesawat BBJ telah digunakan oleh MAS sejak 1999 sebelum kerajaan memperolehnya pada tahun 2003 untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong.

 

“Perbincangan untuk menggantikan BBJ telah dimulakan dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan kapal terbang itu semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.

 

“Perolehan pesawat ACJ320 dalam fleet pesawat eksekutif kerajaan dapat mengurangkan kos operasi, pengurusan dan penyelenggaraan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pesawat ACJ319,” menurut kenyataan itu.

 

Menurut JPM, selain ACJ319 dan ACJ320, fleet pesawat eksekutif kerajaan termasuk kapal terbang yang lebih kecil iaitu pesawat Falcon yang diperolehi pada 1989 dan Global Express 2001, kata JPM.

 

Ahli Parlimen PKR-Pandan, Rafizi di Parlimen menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbelanja boros dengan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ketika rakyat berdepan dengan kenaikan harga barang.

 

“Perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

 

“Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak terus-menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini.

 

Dalam sidang media tersebut, Rafizi turut menunjukkan satu salinan surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru bertarikh 1 Disember 2014.

 

Sehubungan dengan itu beliau meminta Najib memohon maaf kepada rakyat dan membatalkan pembelian jet baru tersebut.

 

“Penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.

 

“Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

 

“Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet peribadi baru Perdana Menteri ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.