Mustahil Individu Manipulasi Mata Wang – Najib

Kuala Lumpur – Mustahil bagi seseorang individu atau syarikat korporat mampu mempengaruhi nilai ringgit kerana transaksi harian yang besar kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurut beliau, sebarang transaksi mata wang oleh penduduk tempatan atau transaksi yang melibatkan ringgit mestilah dilaksanakan melalui bank tempatan yang berlesen.

 

“Untuk makluman, aktiviti purata harian bagi pasaran mata wang Malaysia adalah besar dan berjumlah dolar AS 11.8 bilion pada tahun 2014.

 

“Oleh itu, jika berdasarkan jumlah transaksi yang sebegitu besar, kemungkinan bagi seseorang individu untuk mempengaruhi nilai ringgit adalah amat kecil,” kata Najib.

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahli Parlimen DAP – Segambut, Lim Lip Eng yang meminta Menteri Kewangan menyatakan status siasatan terhadap pemilik The Edge, Datuk Tong Kooi Ong yang dituduh terlibat taruhan nilai ringgit dan manipulasi mata wang.

 

Tong Kooi didakwa melakukan perkara itu bertujuan menjatuhkan nilai ringgit untuk mengaut keuntungan peribadi bagi mensabotaj ekonomi negara.

 

Jelas Najib, penyusutan kadar pertukaran nilai ringgit yang berlaku baru-baru ini bukan kes terpencil dan ianya didorong terutamanya oleh faktor luaran.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) kata Najib sentiasa berwaspada terhadap aktiviti yang menimbulkan gangguan dalam pasaran pertukaran mata wang asing bagi memastikan ringgit tidak terdedah kepada serangan spekulasi.

 

“Sehubungan itu, BNM melakukan pemantauan harian terhadap pasaran mata wang bagi memastikan pergerakan pasaran mata wang adalah teratur.

 

“Bank-bank di Malaysia dilarang daripada membenarkan seseorang individu mahupun syarikat korporat daripada mengambil kedudukan menjual singkat kerana tidak dibenarkan berdasarkan Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.