Militan IS Jadi ‘Pondan’

Baghdad – Tentera kerajaan Iraq dilaporkan berjaya menangkap sejumlah anggota pengganas kumpulan IS yang dipercayai cuba melarikan diri daripada terlibat dalam kancah pertempuran sengit di wilayah utara negara itu.

 

Paling kelakar, militan ‘brutal’ terbabit ditahan dalam keadaan lucu: mereka cukur licin misai dan jambang di muka selain berpakaian seperti perempuan dengan harapan dapat meloloskan diri daripada pemeriksaan tentera Iraq.

 

Pihak keselamatan Iraq menyiarkan beberapa foto eksklusif menerusi laman Instagram memaparkan anggota tentera negara itu membuka burqa selain terpaksa melucutkan coli dipakai ekstremis IS itu yang menyamar sebagai pondan.

 

Salah satu daripada foto tersebut mendedahkan ‘keayuan’ wajah seorang remaja lelaki militan IS yang sanggup belot dan berpaling tadah dengan mengenakan solekan lengkap ‘eyeshadow’ berwarna merah pada kelopak matanya.

 

Media tempatan pada Isnin berkata, tentera Iraq enggan membocorkan maklumat bila dan di mana gambar-gambar tersebut dirakamkan kerana bimbang ia boleh menjejaskan proses siasatan pihak agensi perisikan negara berkenaan.

 

Anehnya pada minggu lalu, tiga lelaki yang didakwa sebagai homoseksual telah dipenggal kepala mereka di salah sebuah wilayah dikuasai IS, bahkan ada dicampak dari bangunan tinggi atas kesalahan liwat walaupun suka sama suka.

 

IS yang mendakwa mereka berpegang teguh kepada ajaran Islam menyelar kelompok gay sebagai golongan dilaknat Allah SWT dan dikutuk Rasulullah SAW sebagaimana pengamal seks songsang yang popular dalam kalangan kaum Sodom ketika zaman Nabi Luth AS.

 

Sumber keselamatan memberitahu agensi berita antarabangsa, golongan perempuan yang menyertai IS dilarang keras ikut bertempur di medan perang malah, anggota militan amat bimbang jika tewas di ‘tangan’ tentera perempuan.

 

Ironinya di sisi lain, IS berjaya mempengaruhi ramai belia dan kanak-kanak lelaki dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk turut bertempur di barisan hadapan, kononnya demi menegakkan sistem pemerintaan khalifah Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.