Letak Jawatan Serta-Merta Tindakan Janggal – Tuan Ibrahim

MARANG – Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan alasan yang diberi 17 daripada 25 Ahli Jawatankuasa Pas kawasan Batu yang mengumumkan peletakan jawatan serta-merta selepas kecewa dengan kepemimpinan tertinggi parti termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini sebagai agak janggal.

 

Beliau yang secara peribadinya mengakui terkilan dengan alasan itu berkata, sebagai ahli Pas, kekecewaan itu sepatutnya boleh diluahkan menerusi mesyuarat Pas kawasan dengan memilih calon yang dirasakan lebih layak dan bukannya menidakkan kewibawaan Ahli Parlimen Marang itu sebagai pemimpin nombor satu parti.

 

Katanya, Pas mengutamakan demokrasi dan menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang diberi tanggungjawab di peringkat akar umbi untuk mencalonkan individu bertanding jawatan tertinggi dalam parti pada muktamar tahunan parti yang akan diadakan pada bulan Jun depan.

 

“Semua ahli jawatankuasa Pas Batu ini dipilih setiap dua tahun sekali dan alasan yang mereka berikan untuk melepaskan jawatan iaitu kerana kecewa dengan kepemimpinan Abdul Hadi menampakkan sedikit kejanggalan serta ada rahsia tersendiri,” katanya yang menyerahkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk mengetuai jawatankuasa siasatan bagi menyiasat perkara itu.

 

Barisan pemimpin Pas Batu yang diterajui Yang Dipertuanya, Ishak Surin sebelum itu mengumumkan peletakan jawatan mereka serta-merta kerana kecewa dengan kepemimpinan Abdul Hadi dan memberitahu bahawa mereka hanya akan kembali ke jawatan itu selepas hubungan Pas dengan parti pakatan pembangkang yang lain kembali pulih.

 

Jelas Ishak, tindakan ‘bermufarakah’ itu bererti tidak lagi bersetuju atau mengikut Presiden tetapi tidak bermakna mereka telah keluar daripada parti.

 

Tuan Ibrahim yang ditemui ketika hadir untuk mempengerusikan mesyuarat terakhir Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ketiga di sini bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkara itu.

 

Difahamkan, selain beliau, hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Abdul Hadi dan Mustafa.

 

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua pemimpin itu gagal apabila mereka enggan ditemu bual oleh petugas media yang menunggu di pekarangan Masjid Rusila. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.