Ku Li Akan Serang Putrajaya Dalam Ucapan Parlimen Hari Ini?

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan akan mengkritik Putrajaya ketika sesi perbahasan menyokong titah diraja di Parlimen hari ini.

 

Menurut penganalisa politik tindakan bekas Menteri Kewangan itu merupakan satu langkah yang tidak dijangka.

 

Ahli Parlimen Gua Musang dan penyokong BN itu dikatakan akan membentangkan 10 perkara dalam perbahasannya berhubung rasa tidak puas hati dengan kandungan titah diraja dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri.

 

“Ku Li merasakan titah diraja tidak mencerminkan masalah sebenar yang dihadapi negara,” kata satu sumber yang rapat dengan kerabat Diraja Kelantan itu, memetik laporan portal Malaysian Insider.

 

“Antara isu yang akan ditimbulkan termasuk skandal 1MDB dan konflik kepentingan apabila Najib memegang kedua-dua jawatan perdana menteri dan portfolio menteri kewangan,” katanya lagi.

 

Menurut portal tersebut, sumber berkata, ucapan Ku Li sepanjang 30 minit itu akan menyentuh tentang bagaimana Umno – parti tunjang BN sudah “mengambil alih kedaulatan dan kuasa Parlimen”.

 

Sekiranya betul, ucapan tersebut bakal menjadi sejarah baru dalam sesi Dewan Rakyat apabila seorang penyokong kerajaan berbahas untuk menentang titah diraja.

 

“Ini akan mencetuskan banyak kontroversi tetapi beliau juga akan menawarkan penyelesaian bagi masalah negara,” kata sumber itu di Kuala Lumpur semalam.

 

Difahamkan teks ucapan Ku Li akan mula diedarkan pada jam 9.00 pagi hari ini.

 

Ucapan Ku Li juga akan menjadi cubaan terhebat pada ketika ini untuk mengkritik Najib di dalam Parlimen daripada seorang ahli Parlimen Umno.

 

Ku Li memenangi kerusi Parlimen Gua Musang yang dulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan pada 1974.

 

Beliau berkhidmat sebagai menteri kewangan dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sering dikatakan seorang yang layak bagi jawatan perdana menteri sekiranya pembangkang Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya.

 

Beliau mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno pada 1987 tetapi gagal dan sebelum itu mencabar Tun Musa Hitam bagi jawatan timbalan presiden pada 1984, tetapi juga gagal.

 

Umno diumumkan haram selepas pemilihan parti pada 1987 dan Ku Li menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) selepas gagal mendaftar Umno Malaysia sebagai Umno baharu.

 

Beliau menyertai Umno Baru Dr Mahathir pada 1996 tetapi disebabkan undang-undang baharu parti, Ku Li sukar untuk mencabar jawatan presiden.

 

Ahli Parlimen berusia 77 tahun itu juga merupakan pengasas, bekas pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat minyak negara Petronas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.