Khalid Samad Kata Ada Kumpulan PAS Mahu Islam Dikawal Orang Berjubah Dan Serban

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad kecewa model fesyen dan pelakon Amber Chia digunakan untuk memburukkan imejnya menjelang pilihan raya parti Islam itu pada Jun.

 

Katanya, ini berlaku selepas beliau muncul bersama beberapa VIP yang termasuk Chia serta Ning Baizura di perasmian sebuah ekspo Khamis lalu.

 

Khalid berkata, sekeping gambar berkumpulan diubah menjadikan hanya beliau bersama Chia sahaja dan ianya diedarkan di media sosial dengan persoalan adakah wakil rakyat itu sudah menceburi bidang peragaan pakaian.

 

Amber berpakaian berwarna ungu yang menutup sehingga pahanya manakala Khalid memakai suit.

 

“Walaupun mereka (pengkritik) merasakan saya berbakat menjadi seorang model, saya mesti menjelaskan bahawa saya hanya menjalankan tugas sebagai MP untuk merasmikan ekspo berkenaan.

 

“Saya tidak berseorangan dengan Amber. Ramai orang lain lagi di atas pentas,” kata Khalid dalam satu posting blog malam tadi.

 

Serangan itu berlaku ketika pertembungan di antara kumpulan konservatif dan progresif dalam PAS dengan Khalid antara pemimpin lantang dalam kumpulan progresif.

 

“Saya tahu usaha untuk memalukan saya ini dilakukan oleh mereka yang mahu menyingkirkan saya pada muktamar Jun nanti.

 

“Pada mereka, PAS tidak boleh keluar dari masjid, surau atau sebarang suasana Islam.

 

“Mungkin mereka akan pengsan jika melihat saya di majlis Tahun Baru Cina yang dihadiri oleh pelbagai bangsa dalam pelbagai pakaian,” tambahnya.

 

Khalid yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata pemikiran lawan konservatifnya yang sempit mungkin menjadi keliru jika mereka melihat pemuda Cina berseluar pendek dan kemeja-T tanpa lengan sementara wanita Islam bertudung serta menutup aurat.

 

“Bagi orang macam ini, Islam mesti dalam keadaan dikawal di mana orang berpakaian jubah dan serban.

 

“Ia seolah-olah masyarakat pelbagai agama dan bangsa tidak wujud dan jika adapun, ia bukan tempat untuk PAS,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.