Hudud : Kajian Merdeka Center Berat Sebelah – Khalid Samad

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen PAS-Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre mengenai keperluan antara pemulihan Kelantan selepas bencana banjir berbanding meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II adalah berat sebelah.

 

Katanya, cara soalan itu diajukan kepada responden dibuat secara tidak adil dengan memberikan dua pilihan sahaja sedangkan ia boleh dilakukan serentak.

 

“Cara soalan itu dikemukakan mungkin tidak begitu tepat kerana meminta orang membuat pilihan di antara dua sedangkan kedua-duanya boleh dilaksanakan serentak.

 

“Lainlah sekiranya persoalan membentangkan pindaan ini menuntut supaya kerja-kerja baik pulih ditangguhkan, itu bukan kesnya, soal pindaan itu adalah soal pentadbiran,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

 

Baru-baru ini, Merdeka Center melakukan kajian yang menyatakan majoriti pengundi di Semenanjung Malaysia mahukan Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan terhadap pemulihan pasca banjir dan bukannya pelaksanaan hudud.

 

Kajian yang dilakukan menerusi temubual telefon itu menunjukkan 84 peratus daripada 1,008 pengundi merasakan kerajaan negeri perlu menumpukan usaha membaik pulih dan membina semula kediaman mangsa banjir.

 

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pembentangan rang undang-undang itu di DUN Kelantan tidak seharusnya menimbulkan masalah besar kepada Pakatan Rakyat (PR) hingga menyaksikan gabungan itu berpecah.

 

Katanya, PR sewajarnya memahami dan melihat perbezaan keunikan rakyat Kelantan daripada segi politiknya dengan tidak menyamakan politik di peringkat kebangsaan

 

“Ia tidak patut menimbulkan masalah buat PR, kita rayu rakan kita memahami perbezaan keunikan Kelantan apabila dibentangkan hanya pindaan enakmen sedia ada dan tidak harus menjadi penyebab perpecahan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.