Faiz Dickie Ditipu Samsung Mobile Malaysia

Kuala Lumpur – Calon Personaliti Popular (Kategori Online), Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014, Faiz Dickie mendakwa dirinya ditipu agensi pengiklanan yang dilantik syarikat pengeluar telefon bimbit Samsung Mobile Malaysia.

 

Menurut Faiz atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, agensi Leo Burnett gagal memberikan hadiah yang telah dimenangginya menerusi peraduan Samsung Design Your Future Self anjuran syarikat pengeluar telefon terkemuka itu.

 

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Samsung Mobile Malaysia, menerusi agensi Leo Burnett bahawa saya telah menjadi salah seorang pemenang peraduan Samsung Design Your Future Self. Seperti yang diiklankan, saya telah memenangi hadiah bernilai RM10,000.

 

“Pada awalnya, perbincangan dengan Brian Liew berjalan lancar dan saya telah memberikan segala maklumat perbincangan dengan Wae Lern Mak kepada beliau.Namun, setelah tiga bulan menunggu, saya diberitahu bahawa pihak Leo Burnett masih menunggu pihak Samsung untuk menjelaskan pembayaran voucher percutian berkenaan” ujarnya menerusi cacatan di Facebooknya sebentar tadi.

 

Menurut Faiz walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menghubungi syarikat Samsung Mobile namun sehingga kini tiada sebarang jawapan yang diberikan.

 

“Saya ingin melahirkan rasa kecewa dengan tindakan dan layanan pihak Samsung Mobile Malaysia serta Leo Burnett Malaysia,  bukan saya ingin meminta-minta, tetapi saya hanya ingin menuntut janji serta hak saya sebagai pemenang (kerana) bukan mudah untuk saya menang pertandingan tersebut.

 

“Saya berharap pihak Samsung Mobile Malaysia serta Leo Burnett Malaysia memandang serius perkara ini…bersusah-susah untuk menang, tetapi bila dah menang, hadiah tak dapat… Sudah SETAHUN SEBULAN saya tunggu hadiah saya” ujarnya lagi.

 

SuaraTV cuba mendapatkan maklumbalas dari syarikat Samsung Mobile berhubung isu ini, namun gagal.

 

Faiz Dickie merupakan graduan Universiti Teknologi Mara yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Sussex, United Kingdom.

 

Personaliti media sosial itu mula dikenali melalui watak-watak parodi lakonannya di dalam video pendek yang dimuat naik melalui akaun media sosial Instagram.

 

Antara watak sinis yang sering iaitu Kak Leha Bunting, Na’a’bella Hijabis, Sarabanon, Jannah, Cikyam dan Qais Wildan yang direka berdasarkan personaliti individu-individu di sekelilingnya.

 

 

 

Berikut adalah luahan hati beliau berhubung perkara ini:

 

 

MANA HADIAH SAYA?

 

Untuk perhatian kepada Samsung Mobile Malaysia dan Leo Burnett – Arc Worldwide – Alpha 245 (Malaysia).

 

Pada 5 Februari 2014, saya telah dimaklumkan oleh pihak Samsung Mobile Malaysia, menerusi agensi Leo Burnett bahawa saya telah menjadi salah seorang pemenang peraduan Samsung Design Your Future Self. Seperti yang diiklankan, saya telah memenangi hadiah bernilai RM10,000.

 

Wakil daripada pihak Leo Burnett iaitu Wae Lern Mak telah menghubungi saya dan hasil daripada perbincangan, saya telah bersetuju untuk menerima hadiah berupa 1 unit Samsung Note 3 (bernilai kira-kira RM2,500) serta pakej percutian ke Jepun bernilai RM7,500.

 

Pada 19.6, setelah empat bulan menunggu, akhirnya saya telah berjaya menerima Samsung Note 3 terbabit. Apabila ditanya mengenai pakej percutian, saya dimaklumkan bahawa pihak agensi iaitu Leo Burnett Malaysia akan menguruskannya.

 

Saya kembali menghubungi Wae Lern Mak untuk bertanya mengenai pakej percutian berkenaan dan pada 3 Julai, saya dimaklumkan bahawa Wae Lern Mak tidak lagi menguruskan akaun Samsung dan saya diminta untuk berhubung dengan Brian Liew (brian.liew@leoburnett.com.my) iaitu Event Executive daripada Leo Burnett. Tujuan utama saya bertanyakan mengenai hadiah berkenaan adalah; pada bulan September, saya akan melanjutkan pelajaran ke UK, jadi saya berharap agar hadiah tersebut dapat diberikan sebelum saya berangkat ke sana.

 

Pada awalnya, perbincangan dengan Brian Liew berjalan lancar dan saya telah memberikan segala maklumat perbincangan dengan Wae Lern Mak kepada beliau (screenshot). Namun, setelah tiga bulan menunggu, saya diberitahu bahawa pihak Leo Burnett masih menunggu pihak Samsung untuk menjelaskan pembayaran voucher percutian berkenaan. Pada ketika ini saya sudah pun berada di UK.

 

Emel terakhir yang diterima daripada Brian Liew adalah pada 7 Oktober 2014 yang memaklumkan pada saya bahawa jika saya berada di UK, saya boleh mengarahkan seorang rakan untuk mengambil voucher tersebut bagi pihak saya. Bagaimanapun, sejak daripada itu, tiada sebarang maklum balas diterima daripada beliau walaupun saya telah menghantar emel sebanyak 3 kali.

 

Tidak berputus asa, saya telah menghantar aduan di laman FB Samsung Mobile Malaysia sebanyak 5 kali. Mereka kemudiannya telah meminta saya menghantar maklumat diri ke Amanda Choe iaitu samsunguniv3z@gmail.com. Namun setelah 3 kali menghantar emel, tiada sebarang maklum balas yang saya terima. Aduan di laman FB saya yang terbaru pada minggu lalu juga tidak dibalas langsung.

 

Disini, saya ingin melahirkan rasa kecewa dengan tindakan dan layanan pihak Samsung Mobile Malaysia serta Leo Burnett Malaysia. Bukan saya ingin meminta-minta, tetapi saya hanya ingin menuntut janji serta hak saya sebagai pemenang. Bukan mudah untuk saya menang pertandingan tersebut.

 

Saya berharap pihak Samsung Mobile Malaysia serta Leo Burnett Malaysia memandang serius perkara ini. Saya minta agar anda bayangkan diri anda di tempat saya. Bersusah-susah untuk menang, tetapi bila dah menang, hadiah tak dapat. Sudah SETAHUN SEBULAN saya tunggu hadiah saya.

 

Mohd Nasrul Faiz Abu Azal
@faizdickievp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.