Dibelasah Sampai Mati Kerana Cuba Curi

KUALA LUMPUR – Penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun di Jalan Keramat, Kampung Datuk Keramat, di sini, disyaki akibat dibunuh selepas cuba mencuri barang kereta.

 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun selain mengesan seorang lagi yang masih bebas bagi membantu siasatan.

 

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 1.53 pagi semalam dan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui mayat seorang lelaki dengan kesan lebam dan luka di bahagian pipi dan dahi.

 

“Hasil soal siasat, semua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kerana si mati cuba mencuri barang kereta,” katanya.

 

Katanya, keputusan bedah siasat mendapati punca kematian akibat pukulan benda keras di bahagian kepala dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.