DBKL Syaratkan Setiap Premis Sediakan Wi-Fi

Kuala Lumpur – Pelaksanaan syarat baru terhadap setiap premis di ibu negara untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar wi-fi dilihat sebagai salah satu usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memudahkan rakyat ibu kota mengakses internet secara percuma.

 

Syarat yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu itu dilaporkan mendapat kerjasama yang baik daripada semua premis di ibu negara sehingga kini.

 

Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hassan Azhari Abu Bakar berkata, syarat tersebut adalah wajib kepada semua premis kecuali kedai runcit kerana kemudahan itu memberi ruang kepada rakyat mengakses internet di mana sahaja mereka berada.

 

“Ini merupakan syarat utama DBKL dan sekiranya premis gagal mematuhinya, kami tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan apabila mereka mahu memperbaharui lesen.

 

“Ini usaha kami bagi menggantikan program perkhidmatan internet percuma yang pernah dilaksanakan kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Menurutnya, syarat tersebut telah dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu kepada semua premis perniagaan di Kuala Lumpur, seperti restoran dan kedai dobi.

 

Syarat berkenaan merupakan rentetan kepada projek Wireless@KL iaitu program wi-fi percuma bagi seluruh bandar raya Kuala Lumpur yang dicadangkan pada 2008, di mana perlaksanaannya dibuat kira-kira dua tahun kemudian atas kerjasama antara DBKL dan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

“Namun program berkenaan agak ‘senyap’ dan tiada perkembangan, maka kami gantikan dengan perlaksanaan syarat berkenaan bagi memberi peluang kepada warga kota mendapatkan perkhidmatan internet secara percuma,” kata Hassan dan menambah walaupun perkhidmatan begini biasanya dalam lingkungan kecil iaitu sekitar premis yang menyediakan wifi kepada pelanggan.

 

Dia ketika ditanya mengapa perkhidmatan Wireless@KL dihentikan, Hassan berkata tidak semua tempat dalam Kuala Lumpur termasuk di dalam lingkungan internet percuma itu.

 

Menurutnya lagi, untuk projek Wireless@KL, DBKL hanya bertindak sebagai pelaksana dan syarikat telekomunikasi tersebut yang bertanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan tersebut diteruskan.

 

“Program berkenaan merupakan percubaan, dan DBKL hanya membantu melaksanakan program tersebut.

 

“Kami bertindak sebagai pelaksana, namun bagi meneruskan program tersebut, ianya bergantung kepada syarikat telekomunikasi itu. Ianya diluar kemampuan kami,” katanya.

 

Dan ketika ditanya mengenai perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menampung program Wireless@KL, Hassan berkata, ia di bawah tanggungjawab pihak syarikat telekomunikasi terbabit.

 

Hassan menamnbah, syarikat itu juga bertanggungjawab di atas semua perkakasan penyediaan internet yang disediakan di beberapa kawasan si sekitar Kuala Lumpur.

 

Program Wireless@KL itu diwujudkan bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Wireless City’ yang dapat menyediakan perkhidmatan internet secara percuma kepada lebih 90 peratus penduduk dalam bandar pada ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.