Akta Salah Guna Darjah Kebesaran Digubal

Kuala Lumpur – Kerajaan sedang menggubal Rang Undang-undang khusus bagi membendung penyalahgunaan gelaran darjah kebesaran termasuk penganugerahan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

Kata Shahidan, anugerah yang diberi oleh pertubuhan, persatuan atau mana-mana institusi dalam dan luar negara yang wujud, ia hanya dianggap sebagai pusat kebudayaan dan pemuliharaan adat budaya dan tradisi.

 

“Mana-mana individu yang menerima anugerah sebegini tidak boleh menggunakannya dalam urusan rasmi atau memakainya semasa menghadiri majlis rasmi di negara ini.

 

“Dengan berkuatkuasanya undang-undang tersebut tindakan akan dikenakan ke atas individu yang menerima atau mengguna atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam urusan penganugerahan berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen PKR-Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang meminta Perdana Menteri menyatakan isu pemberian gelaran Datuk yang tidak diiktiraf di Malaysia.

 

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN-Pendang, Datuk Othman Abdul yang meminta kerajaan menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan bagi penerima Datuk dan darjah kelulusan ke atas yang telah melakukan kesalahan kesan jenayah, Shahidan berkata ia tertakluk kepada budi bicara pemberi anugerah tersebut.

 

Bagaimanapun kata Shahidan, pihak yang mengetahui terdapat kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pemegang gelaran tersebut boleh membuat laporan kepada jawatankuasa darjah dan kebesaran untuk mengambil tindakan lanjut.

 

“Kuasa mengeluarkan anugerah ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan juga Yang Dipertua Negeri.

 

“Maka sekiranya mereka itu melanggar apa-apa peraturan, maka kuasa yang memberi itu jugalah kuasa yang menarik balik.

 

“Kita boleh melaporkan kepada jawatankuasa darjah dan kebesaran, dan jawatankuasa ini akan membuat cadangan kepada Yang Dipertua Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya terutamanya menarik balik,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.