Ajak Shiro Panas Baran Kerana Dibayar

Pelakon Ajak Shiro mengakui bimbang jika timbul persepsi negatif terhadap dirinya ekoran watak seorang yang panas baran yang dilakonkan dalam drama Bila Hati Telah Hitam.

 

Bagaiamanapun, Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, 30, berkata, dia hanya berlakon mengikut kehendak pengarah yang mahukan dia menjadi seorang yang pemarah dan panas baran dalam drama bersiri penuh pedoman itu.

 

“Sebagai seorang pelakon komedi, watak komedi memang sangat sinonim dengan kita. Namun, apabila ada peluang membawa watak lain daripada apa yang selalu dipertontonkan, itu satu cabaran pada saya.

 

“Cuma, saya risau juga jika ada impak negatif bila orang tengok saya. Sebenarnya, apa yang mereka tengok itu bukanlah diri saya yang sebenar.

 

“Saya dibayar untuk melakonkan watak itu, jadi saya harus berikan seperti apa yang pengarah mahu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

 

Tambahnya, pelakon yang wajahnya iras Allahyarham pelawak Harun Salim Bachik ini, walaupun lari dari watak kebiasaan yang sering ditawarkan padanya, Ajak tertarik menerima tawaran kerana dia memang teringin berlakon bersama pelakon hebat yang turut menjayakan drama berkenaan.

 

“Saya tertarik untuk berlakon dalam drama ini kerana melihat barisan pelakonnya yang hebat. Satu peluang yang baik apabila saya berpeluang terlibat sama dalam kalangan pelakon seperti Khir Rahman, Hasnol Rahmat dan Azri Iskandar.

 

“Namun, sejujurnya apabila pengarah memberikan watak ini, saya sebenarnya kurang yakin. Saya tertanya bolehkah saya bawakan karakter sebagai seorang panas baran?

 

“Saya pun mulanya difahamkan yang watak ini bukan untuk saya tetapi untuk pelakon lain. Namun, pengarah banyak beri tunjuk ajar pada saya,” katanya.

 

Drama Bila Hati Sudah Hitam sebanyak 13 episod bakal bersiaran mulai 20 Mac, setiap Jumaat, jam 7.30 di saluran Astro Oasis.

 

 

Tolak Jadi Deejay

 

Sementara itu, ketika sahabatnya dalam kumpulan Shiro, Shahrol memilih untuk mengatur langkah sebagai penyampai radio, Ajak pula lebih selesa aktif sebagai pengacara dan pelakon.

 

Katanya, dia juga sebenarnya pernah mendapat tawaran bekerja di konti radio, tetapi ditolak kerana berasakan belum sedia.

 

“Sebenarnya, saya juga ada menerima tawaran sebagai penyampai radio tetapi buat masa ini saya belum bersedia. Selain melawak untuk menghiburkan masyarakat, saya lebih suka mengendalikan program TV dan berlakon.

 

“Jadi, atas sebab itu saya memilih untuk aktif muncul di televisyen.

 

“Saya kalau boleh mahu mengetengahkan bakat lakonan ke tahap lebih jauh lagi kerana minat dalam bidang ini. Apatah lagi, saya pernah berlakon sebagai pelakon tambahan sebelum menyertai Raja Lawak 6,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.