PAS Konsisten Perpaduan Ummah, Tetap Teruskan Kerjasama Dengan UMNO

SHAH ALAM – Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat memaklumkan bahawa parti itu akan terus mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu telah menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada BN dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza berbanding PRK Cameron Highlands.

“Ini selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya di samping Pas mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas mendapat penjelasan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada mesyuarat yang bersidang di Marang, Terengganu berhubung pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu.

Terdahulu, Dr Mahathir mendedahkan Pas tidak akan bersama UMNO pada PRK DUN Semenyih pada pertemuan antara Abdul Hadi, Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pimpinan Pas berkenaan didedahkan telah menyerahkan sepucuk surat contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin sebagai sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri termasuk membincangkan tentang penyelarasan tugas antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Takiyuddin mengesahkan, perakuan bertulis yang berbentuk contoh itu diberikan sebagai komitmen sokongan Pas terhadap kepimpinan Dr Mahathir di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU15.

Jelas beliau, persetujuan pada pertemuan itu turut dicapai untuk menjalin kerjasama yang lebih baik berdasarkan semangat persekutuan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan serta Terengganu, khususnya dalam hal berkaitan pentadbiran, pembangunan dan pemberian royalti. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.