PAS Akan Pastikan Penyokong Di Semenyih Undi BN – Roslan Shahrir

KAJANG – Pimpinan tertinggi Pas Pusat dijadualkan akan membantu calon Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula malam ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir berkata, jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti akan sentiasa mengadakan mesyuarat bagi menentukan gerak kerja kempen.

Ia diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk BN manakala Pas diketuai oleh Datuk Takiyuddin Hassan.

“Kita akan sentiasa mengadakan mesyuarat bersama diperingkat tertinggi sehinggalah pada hari mengundi nanti,” katanya kepada media ketika ditemui semasa mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi melakukan walkabout di pasar malam Jenaris di sini hari ini.

Menurut Roslan, pihaknya juga cuba mengatur kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk turun ke Semenyih bagi turut sama membantu calon BN berkempen.

Katanya, jika Hadi tidak dapat hadir Pas akan memastikan sekurang-kurangnya Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan hadir.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas Selangor akan memastikan sebanyak 6,966 pengundi parti tersebut akan memilih calon BN semasa membuang undi pada 2 Mac nanti.

Katanya, keputusan untuk Pas membantu BN mencapai kemenangan tidak akan berganjak sebaliknya arahan dalaman Pas itu akan dipastikan terlaksana.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU 14) yang lalu, Bakhtiar menang 23,428 undi menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz dari BN (14,464 undi); calon Pas, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966 undi) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) (1,293 undi). – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.