Lain Dari Perjanjian, PKR Terkejut Keputusan PPBM Masuk Ke Sabah

KOTA KINABALU – Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, terkejut dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang parti itu akan berkembang ke Sabah.

Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, perjanjian sebelum ini menyatakan BERSATU membiarkan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR mentadbir kerajaan negeri.

“Saya terkejut kerana mereka (BERSATU) tidak bertanding (di Sabah) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ia hanya WARISAN dengan PKR dan DAP, sekarang mereka mahu datang ke sini.

“Saya juga terkejut ramai bekas pemimpin UMNO akan menyertai BERSATU,” katanya kepada media selepas majlis makan malam Gala Sempena Hari Tenggiling Sedunia di sini, malam tadi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi BERSATU mengumumkan keputusan parti itu untuk mengembangkan sayap ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengesahkan lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar UMNO pada Disember lalu, sudah menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU.

Pada PRU-14 lalu, BERSATU mencapai persefahaman dengan WARISAN yang parti itu tidak akan masuk ke Sabah, sebaliknya WARISAN menjadi rakan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapat sokongan rakyat Sabah.

Liew berkata, kerajaan negeri ditadbir dengan baik di bawah pimpinan Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami menuju ke arah pembangunan dari segi kewangan dan kemakmuran, tetapi tiba-tiba dikatakan (BERSATU) perlu datang ke sini untuk membantu menguatkan (kerajaan) Sabah,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.