Suka Kongsi Gaya Hidup Di Facebook Bawa Kematian Jong-nam

KUALA LUMPUR ― Walaupun pernah mengalami cubaan untuk membunuhnya pada 2012, menurut laporan berita, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, tidak dapat menahan minatnya untuk berkongsi gaya hidup melalui Facebook.

 

Kim Jong-nam, yang hidup terasing, dikatakan menggunakan laman Facebook dengan nama Kim Chol untuk memuat naik gambarnya yang dirakam dipelbagai tempat.

 

Sebuah laman berita bebas, NK News, memetik Cha Du-hyeong, bekas setiausaha perisikan kepada Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak, sebagai berkata catatan Jong-nam di laman Facebook mungkin membawa kepada kematiannya.

 

“Saya berpendapat, ada kemungkinan Kim (Jong-nam) bersikap cuai, hingga membawa kepada kematiannya,” kata Cha kepada laman berita itu, yang mengaku sebagai sumber maklumat boleh dipercayai mengenai Korea Utara.

 

Gambar profil yang digunakan dalam akaun Facebook Kim Chol bukanlah gambar Jong-nam, tetapi gambar seekor tupai.

 

Aktiviti paling baru dalam akaun Facebook itu bertarikh November 2015, yang menunjukkan Jong-nam meletakkan gambar profilnya pada filter bendera Perancis sebagai tanda perpaduannya dengan mangsa serangan di Paris.

 

Jong-nam memuat naik sekeping foto pada 2010 yang menunjukkan dia sedang berdiri di hadapan Wynn Macau Hotel dan pada 4 Mac 2013, dia menulis komen: “Nice Place!”.

 

Pada tarikh sama, dia memberi jawapan kepada rakan Facebooknya, seorang wanita Perancis, dengan menulis: “Hi. All is well! Thank you! See you soon I hope! Kisses.”

 

Jong-nam juga menulis “I miss Europe,” di sebelah gambar yang dirakam pada 2008 dan menunjukkan dia bersama seorang lelaki Kaukasia tidak dikenali berdiri di atas sebuah kapal layar dan pada 2010, dengan menulis: “Living Las Vegas in Asia.”

 

Dia mempunyai rakan Facebook dari pelbagai negara, termasuk Perancis, Singapura, Rusia dan Switzerland.

 

“Likes” yang ditandanya termasuk bagi ahli muzik Perancis Serge Gainsbourg dan dua bar di Singapura, termasuk satu yang dikenali sebagai ‘Girls Bar Kimidori’.

 

Jong-nam juga menandakan “Like” pada Presiden Rusia Vladimir Putin dan seorang yang menyamar sebagai Kim Jong-un, dengan memberi namanya sebagai Kim Jong “Um”. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.