Jabatan Kimia Terima Sampel Untuk Siasatan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kimia Malaysia hari ini menerima beberapa sampel daripada polis yang menyiasat kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, untuk tujuan analisis.

 

Pengarah Bahagian Forensik jabatan itu, Dr Cornelia Charito Siricord berkata, sampel berkenaan diterima petang ini dan akan dianalisis secepat mungkin.

 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jenis dan bilangan sebenar sampel berkenaan atau mengesahkan sama ada ia berbentuk cecair mahupun racun.

 
“Kamia memang ada menerima beberapa sampel daripada polis untuk dianalisis dan mengikut prosedur terutama berkaitan kes-kes penting, kami akan menjalankan analisis secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati pada Isnin itu ialah Kim Jong-nam.

 

Dr Cornelia berkatax, analisis sampel akan dilakukan oleh dua bahagian di jabatan itu dan keputusannya akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

 

Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (klia2) pada 8 pagi pada hari kejadian untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampirinya sebelum menyerkup muka dengan kain mengandungi cecair beracun.

 

Jong-nam dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.