Video: Saya Tak Terlibat Dengan Isu 1.5 Bangladesh – Adik TPM

Kuala Lumpur – Adik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hakim Hamidi menafikan beliau terlibat untuk menyediakan tenaga kerja asing Bangladesh seramai 1.5 juta ke Malaysia.

 

Menurut Pengerusi Real Time Networking Sdn Bhd, syarikat beliau hanya berhasrat untuk menyediakan sistem pengurusan pekerja asing sambil menegaskan cadangan perisian tersebut merupakan kerjasama dengan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) dan ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak kerajaan di Malaysia.

 

 

“Saya pada awalnya memang berhasrat untuk menyediakan satu perisian kepada pihak NGO di Bangladesh atas dasar untuk membantu mereka (pihak Bangladesh) agar seleras dengan teknologi yang digunakan di negara ini.

 

“Ia (perkhidmatan perisian yang disediakan itu) langsung tidak ada kena mengena dengan pihak kerajaan, agensi ataupun NGO yang berada di negara ini” katanya ketika wawancara eksklusif bersama SuaraTV sebentar tadi.

 

Abdul Hakim turut menjelaskan isu yang dibangkitkan itu hanya merupakan persepsi pihak-pihak tertentu.

 

“Secara kebetulan saya berada di Bangladesh ketika wartawan portal Malaysiakini menelefon saya bagi mendapatkan komen, jadi mereka telah beranggapan saya sedang meninjau dan mengintai peluang untuk menyediakan khidmat tenaga asing seramai 1.5 juta ini.

 

“Disebabkan pengumuman tersebut dibuat oleh abang saya, jadi pihak-pihak tertentu beranggapan saya cuba mengambil kesempatan atas peluang tersebut” katanya lagi.

 

Pada 25 Jun lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.