Video: Perhilitan Buru Dua Lelaki Suspek Curi Taring Harimau Di LPT2

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perhilitan Terengganu memburu dua lelaki dipercayai suspek utama yang mencuri taring harimau belang betina yang mati dirempuh di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman, 6 Febuari lalu.

 

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, lakaran wajah kedua-dua suspek berkenaan telah dikenal pasti dan kini usaha pengecaman sedang dijalankan oleh bahagian pengecaman Jabatan Perhilitan Terengganu.

 

Katanya lagi, siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek merupakan rakyat tempatan manakala seorang lagi warga negara asing yang menggunakan dua buah kenderaan iaitu kereta Proton Wira berwarna merah dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Hilux berwarna hitam.

 

“Sehingga hari ini (semalam), kita telah memanggil tujuh individu termasuk pemandu yang terlibat, petugas lebuh raya dan beberapa pegawai kami yang bertugas semasa kejadian bagi mendapatkan keterangan.

 

“Hasilnya, kita telah mendapat lakaran wajah kedua-dua suspek dengan jelas dan sekarang gambar tersebut sedang dianalisis oleh bahagian pengecaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

 

Mohd Hasdi berkata, pihaknya turut difahamkan beberapa keping gambar kedua-dua suspek itu telah pun diviralkan di laman sosial sejak kelmarin.

 

“Kami mengesahkan kesemua gambar yang diviralkan itu adalah tulen dan kedua-dua suspek tersebut merupakan yang diburu hari ini,” katanya.

 

Selain itu, Mohd Hasdi berkata, pihaknya kini sedang menganalisis rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang diletakkan di setiap rumah tol di sepanjang LPT2 tersebut bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek.

 

Dalam masa sama, Mohd Hasdi memohon kerjasama orang awam yang mengetahui atau memiliki sebarang gambar ataupun video berhubung insiden itu dapat tampil ke Jabatan Perhilitan berhampiran atau menghubungi di talian 09-6221460.

 

 

“Kerjasama daripada orang awam amat dialu-alukan untuk membantu menangkap kedua-dua suspek tersebut dan kami berjanji identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan malah mereka turut diberi imbuhan, hasil daripada maklumat diberikan.

 

“Usaha memburu kedua-dua suspek itu akan diteruskan sehingga ke ‘lubang cacing’ kerana bagi kami, penjenayah hidupan liar merupakan penjenayah ‘berat’ di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar,” katanya dengan tegas.

 

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan Jabatan Perhilitan Terengganu ada membuat laporan polis berhubung kehilangan taring harimau belang betina yang mati dirempuh di LPT2, Kemaman, dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab di lokasi.

 

Dalam kejadian kira- kira jam 1 pagi, harimau belang dewasa itu dipercayai dirempuh oleh MPV jenis Hyundai Starex yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.