Siapa pilihan ‘Terlajak Laris’?

KUALA LUMPUR – Walaupun saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016 sudahpun membuka tirai secara rasmi pada 12 Februari lalu, namun jutawan kosmetik yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman masih berminat untuk menaja pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana.

 

Aliff, yang merupakan pengasas produk kosmetik serta kesihatan terkenal, D’Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D’Herbs) mendedahkan, beliau kini sedang mengenal pasti pasukan yang sesuai untuk ditaja termasuk Terengganu, Pahang, Felda United (Liga Super) dan Negeri Sembilan (Liga Perdana).

 

Bagaimanapun, Aliff yang mesra disapa sebagai ‘Abang Terlajak Laris’ mengakui, keputusan penajaan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan bersama peguamnya, namun ia bakal diumum tidak lama lagi.

 

“Sepatutnya saya sudah menaja pasukan Kedah tiga minggu lalu, tetapi kerana ada masalah teknikal jadi perkara itu tidak dapat diteruskan.

 

“Oleh itu, untuk penajaan baharu ini, saya perlu membuat kajian secara menyeluruh agar tidak berlaku masalah berbangkit pada masa depan.

 

“Ini adalah percaturan yang besar dan saya perlu mengikut perundangan yang terperinci kerana ini melibatkan tajaan bernilai sekurang-kurangnya RM10 juta,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 

Bulan lalu, Aliff Syukri mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bagi membincangkan tentang penajaan pasukan Kedah ekoran Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta musim ini untuk memastikan pelbagai program pembangunan bola sepak yang dirancang berjalan lancar.

 

Bagaimanapun, difahamkan penajaan itu terbatal selepas krisis pentadbiran dan politik yang melanda Kedah yang menyaksikan Mukhriz melepaskan jawatan Menteri Besar dan Presiden KFA.

 

Enggan mengulas tentang perkara berkenaan, Aliff Syukri memberitahu, beliau sedar liga bola sepak telah pun bermula dan beliau harus merangka proses perjalanan penajaan berkenaan dengan segera.

 

“Saya masih memerlukan sedikit masa lagi dan saya berharap dapat menaja pasukan yang benar-benar layak.

 

“Dalam kepala saya sudah ada pasukan itu, cuma belum masanya saya umumkan lagi,” jelas beliau.

 

Ditanya adakah beliau mempunyai syarat tertentu untuk penajaan berkenaan, Aliff Syukri mengakui, beliau enggan membuat permintaan khusus terhadap pasukan atau pengurusan bola sepak pasukan yang ditaja.

 

Beliau mengakui lebih selesa mengikut kehendak pasukan yang ditaja, pun begitu beliau percaya setiap wang yang dilaburkan akan mempunyai keuntungannya tersendiri.

 

“Sudah tentu setiap penajaan kita mahukan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak, cuma pada saya biarlah mereka (pasukan) tersebut yang menentukan tentang perkara berkenaan, termasuklah tentang jumlah penajaan.

 

“Soal mahu itu dan ini saya serah kepada mereka untuk beri apa sahaja kepada saya,” kata usahawan muda itu lagi. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.