Periksa kantung dulu!

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta setiap persatuan bola sepak negeri supaya melihat unjuran pendapatan masing-masing sebelum menawarkan kontrak lumayan kepada pemain.

 
Perkara itu perlu diteliti bagi mengelak isu tunggakan gaji daripada berulang susulan kecenderungan sesebuah persatuan menawarkan kontrak gaji lumayan biarpun tidak mempunyai kewangan kukuh.

 

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memainkan peranan dengan mengawal tawaran kontrak gaji yang tinggi kepada pemain agar isu tunggakan gaji tidak berulang.

 

“Saya harap FAM dan pasukan lain menjadikan perkara ini iktibar agar tidak ada lagi pasukan yang tawarkan kontrak di luar kemampuan mereka.

 

“Apabila mereka menawarkan gaji terlalu tinggi daripada penajaan serta pendapatan, ini yang akan berlaku.

 

“Jadi setiap pasukan mesti membuat unjuran kewangan yang tepat dan tidak terbawa-bawa dengan keghairahan mendapatkan khidmat pemain tapi kemudiannya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji,” kata Khairy yang ditemui ketika melancarkan aplikasi ‘Fitness In My Pocket’ semalam.

 

Aplikasi baharu yang dibangunkan eSolved MSC Sdn Bhd itu membolehkan pengguna telefon pintar membuat senaman dengan mudah secara sendirian dengan memuat naik aplikasi itu dalam telefon bimbit masing-masing.

 

Justeru, Khairy menyambut baik tindakan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT) kerana berjanji cuba membayar tunggakan gaji pemain dalam tempoh sebulan daripada 90 hari yang ditetapkan.

 

Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi buruk pasukan negara yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga terakhir Kumpulan D Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.

 

Kekalahan itu mungkin turut mengakibatkan futsal tidak dipertimbangkan untuk disenaraikan pada temasya Sukan SEA 2017. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.