ASEAN harap pengganti Obama teruskan komitmen

SUNNYLANDS  – Malaysia dan rakan-rakan ASEAN berharap perhatian dan keutamaan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap rantau Asia Tenggara dapat diteruskan oleh pengganti Pre­siden Barack Obama.

 

Harapan itu dinyatakan oleh pemimpin dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS di pemukiman eksklusif padang pasir Annenberg di sini hari ini (Rabu waktu Malaysia) yang melihat potensi hubungan dengan AS amat besar.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merumuskan pertemuan itu berkata, berdasarkan sidang kemuncak yang juga diadakan semasa cuti umum AS me­nunjukkan negara ini memberikan komitmen tinggi terhadap hubungannya dengan ASEAN.

 

“Saya dan rakan-rakan lain menyatakan bahawa kita berharap Presiden AS akan datang juga menunjukkan komitmen sama untuk menjamin proses yang berterusan dan berkekalan ini diteruskan,” katanya kepada wartawan Malaysia.

 

Najib menambah, sidang kemuncak ini juga memberikan gambaran bahawa ASEAN yang mempunyai 630 juta penduduk telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah blok penting dan mempunyai potensi besar.

 

“Jangan lupa saiz ekonomi bernilai RM2.4 trilion dengan pe­ningkatan jumlah penduduk kelas menengah yang memberi makna ASEAN mempunyai potensi besar ditambah kita sekarang dikenali sebagai satu komuniti,” jelas beliau.

 

Mengulas mengenai sesi pagi ini, Perdana Menteri berkata, selain Obama yang mempengerusikan majlis dan Presiden Laos, Choummaly Sayasone yang juga Pengerusi ASEAN, beliau turut dijemput untuk berucap sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN-AS.

 

Menurutnya, selepas hubungan ASEAN-AS diangkat menjadi perkongsian strategik pada November lalu kedua-dua pihak terus berazam untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, politik, keselamatan dan rakyat ke rakyat.

 

“ASEAN juga berpendapat hubungan dengan Amerika Syarikat ini adalah sangat penting samalah seperti hubungan kita dengan China,” jelas beliau.

 

AS merupakan rakan dagang keempat dengan ASEAN. Hubungan perdagangan dua hala ASEAN-AS pada 2014 mencecah AS$212 bilion, meningkat 2.7 peratus berbanding 2013.

 

AS juga punca keempat pelaburan langsung asing pada 2014 dengan jumlah diterima AS$13 bilion atau 9.5 peratus keseluruhan pelaburan langsung asing dalam ASEAN.

 

Najib berkata, melalui hubungan strategik itu AS boleh memainkan peranan untuk menjamin kawasan ASEAN dapat terus menangani cabarannya sama ada dari segi krisis kemanusiaan, bencana, keganasan dan ekstremisme.

 

Mesyuarat peringkat tertinggi yang juga dipanggil oleh Washington sebagai sidang kemuncak Sunnylands bersambung esok yang akan memfokus kepada perbincangan untuk menggalakkan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di Asia Pasifik sebelum satu kenyataan bersama dikeluarkan.

 

Antara isu yang dijangka dibangkitkan pada hari terakhir sidang kemuncak ini ialah jenayah rentas sempadan, keganasan dan isu maritim.

 

Ketua delegasi lain yang hadir pada sidang kemuncak ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah; Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

 

Yang lain ialah Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha; Timbalan Presiden Myanmar, Nyan Tun dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.