Amanah cabar Pas dedah nama

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mencabar Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah mendedahkan nama ahli parti itu yang didakwanya kembali kepada Pas.

 

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, pihaknya yakin apa yang didakwa itu tidak benar.

 

“Dakwaan Mohd Amar tidak berasas. Senaraikan kepada kami nama yang mahu keluar Amanah untuk kami periksa,” katanya.

 

Che Ibrahim berkata, ahli Amanah bagaimanapun tidak perlu takut untuk mengisytiharkan diri sekiranya mahu berpatah balik kepada Pas.

 

“Amanah tidak bersikap menghukum ahli dengan macam-macam gelaran atau hukuman.

 

“Semua warganegara bebas memilih dan menyokong parti pilihan mereka tanpa diikat dengan sumpah atau baiah kerana parti hanyalah alat kepada perjuangan,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau yakin dengan kesetiaan penyokong Amanah memandangkan setakat ini belum ada ahli-ahlinya yang menunjukkan tanda-tanda kekecewaan serta tidak puas hati dengan perjuangan parti itu.

 

“Apa lagi untuk keluar menjadi ahli lain atau kembali semula kepada parti asal mereka,” katanya. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.