Roma dalam bahaya

Madrid: Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane sedar Cristiano Ronaldo sedang berada pada tahap terbaiknya ketika bintang Portugal itu berazam menambah jumlah jaringannya pada saingan Liga Juara-Juara apabila bertandang ke AS Roma bagi mengharungi perlawanan pertama kelompok 16 terakhir esok.

 

Ronaldo antara penjaring terbanyak kejohanan berkenaan musim ini dengan 11 gol yang juga rekod jaringan di peringkat kumpulan.

 

Zidane yang pernah menjulang Liga Juara-Juara ketika mewakili Real pada 2002 berkata, Ronaldo berada di tahap terbaiknya selepas pemain itu meledak dua gol ketika pasukannya menang 4-2 ke atas Athletic Bilbao, Sabtu lalu.

 

“Cristiano sangat penting di bahagian sayap kerana setiap kali berdepan penjaga gol, dia pasti dapat meledak jaringan. Sukar bagi pemain lawan untuk menghalangnya,” kata Zidane. “Begitulah yang dilakukannya ketika kami menjaringkan gol pertama (menentang Athletic).”

 

Pertahanan kiri Marcelo sudah kembali pulih daripada kecederaan bahu yang memaksanya terlepas perlawanan Sabtu lalu dan dia menjalani latihan serta disenaraikan pada perlawanan esok.

 

“Kami perlu waspada dengan kepantasan pemain Roma kerana jika tidak, ia akan mengecewakan kami,” kata penyerang Real Karim Benzema.

 

“Mereka bermain untuk menang kerana ia perlawanan penting di tempat sendiri. Kami juga mahu menang kerana tahu jika mahu layak, perlu menang perlawanan pertama. Jika berada di tahap terbaik, kami pasti menang.”

 

Isco mungkin bermain di bahagian tengah dan Zidane berkata beliau merehatkan Mateo Kovacic selepas turun ketika menentang Athletic.

 

Perlawanan itu juga menemukan dua jurulatih yang baru dilantik selepas Zidane dan Luciano Spalletti mengambil alih tugas bulan lalu.

 

Spalletti kembali buat kali kedua di Roma dan menang empat aksi Serie A bagi menggantikan Rudi Garcia.

 

Spalletti gembira melihat penyerang Edin Dzeko yang kemarau jaringan selama tiga bulan sebelum ini, kembali meledak gol ketika membantu pasukannya menang 3-1 ke atas Carpi, Jumaat lalu. – HMetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.