Ziana Zain Rotan Anak

Diva Pop dan bervokal lantang, Ziana Zain mengakui merotan anak-anaknya tetapi pendekatan itu sebagai jalan terakhir jika sikap dan kelakuan anakya sukar dikawal atau terlalu degil.

 

Pelantun lagu Puncak Kasih ini menyatakan pendekatan dan cara didikan daripada ibu bapanya ketika dia kecil dipraktikan terhadap empat cahaya matanya yang kini sedang membesar iaitu Muhammad Aiman (15 tahun), Muhammad Ammar (12 tahun) dan pasagan kembar tidak seiras, Muhammad Ariel serta Siti Nour Kaseh, (6 tahun).

 

“Saya rotan anak-anak saya tapi itupun kalau mereka degil sangat sudah tidak dapat dikawal. Apabila saya marah mereka, saya akan sulamkan dengan kata-kata iaitu saya marah bukan kerana tidak sayang tetapi mahu mereka sentiasa berkelakuan baik dan menghormati orang yang lebih tua daripada mereka.

 

“Alhamdulillah, mereka semua dengar cakap. Saya cuba macam-macam cara dalam mendidik dan mendisiplinkan mereka.

 

“Ada juga cara yang tidak menjadi. Saya juga banyak gunakan cara ibu bapa saya mendidik kami adik beradik semasa kecil dulu.

 

“Lucunya, kalau mereka tengok saya tengah marah misalnya sewaktu dalam kereta, abangnya Aiman akan pujuk saya sambil berkata: ‘mama, Aiman ada koleksi lagu pak ngah (Anuar Zain), mama nak dengar?’ atau ‘mama nak dengar lagu Maaron 5?’,” katanya terhibur melayan kerenah anak-anaknya.

 

Bagaimanapun, figura berusia 46 tahun ini mengakui ada kala dia tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anaknya untuk memenuhi permintaan mereka berempat pada satu masa.

 

“Sekarang baru saya faham kata-kata ibu saya. Bukan senang hendak menjaga anak.

 

“Kalau dulu ibu kita yang susah hati bila anak akan duduki peperiksaan, sekarang ini saya pula melalui perasaan itu.

 

“Kita kenal karakter anak-anak dan lain anak lain perangai. Macam empat anak saya juga kadang-kadang pening juga kepala dibuatnya.

 

“Kadang-kadang tu saya tidak dapat berlaku adil pada anak-anak untuk memenuhi permintaan mereka dalam satu masa. Kalau terlebih perhatian pada adik, si abang pula akan merajuk.

 

“Jadi, saya selalu beritahu anak-anak, kalau mereka nak sesuatu atau ada apa yang mereka tidak puas hati, beritahu saya sebab saya tidak boleh baca fikiran mereka.

 

“Anak perempuan saya mempunyai perangai sama seperti saya kecil-kecil dulu, ‘cheeky’, suka melawa, menyanyi dan suka kamera berbanding dengan abang-abang tak berapa suka kamera,” ujarnya.

 

Dedahnya, adiknya Anuar antara bapa saudara yang sering mengambil berat terhadap anak-anaknya. Jika ada kelapangan waktu Anuar akan melawat mereka.

 

Sikap tegas dan berdisiplin yang dimiliki penyanyi Lelaki Ini itu secara tidak langsung membuatkan Anuar juga mengajar anak-anak saudaranya menjadi sorang insan yang berkelakuan baik.

 

“Anuar, dia selalu sibuk tapi kalau dia ada masa dia akan duduk dengan budak-budak ini dan bertanya tentang sekolah dan pelajaran. Dia selalu belikan anak-anak buah dia makanan macam coklat.

 

“Kalau dia kerja, dia akan beritahu yang dia sudah belikan coklat dan nanti datanglah ambil di rumah. Kalau anak-anak buah dia cemerlang dalam peperiksaan, adalah hadiah daripada dia untuk mereka.

 

“Anuar, dia sangat berdisiplin. Jadi anak-anak saya tahu kalau sekali pak ngah mereka kata tak boleh, memang tak boleh lah jawabnya. Pak Ngah dia selalu ajar mereka, dalam apa pun perkara yang mereka hendak buat, perlu minta kebenaran dahulu.

 

“Terutama kalau hendak ambil barang atau pinjam barang orang lain. Secara tidak langsung, anak-anak saya sudah terdidik cara sebegitu,” katanya.

 

Sementara mengenai perkembangan seni pula, Ziana bakal membuat persembahan bersama dua lagi diva iaitu Ning Baizura dan Noryn Aziz sempena minggu setiausaha. Persembahan yang diberi nama Diva Malaysia Live, Queen of the City, akan diadakan di hotel Shangri La Kuala Lumpur pada 9 April dan di Persada Convention Center, Johor Bahru pada 25 April ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.