Video Ugut Letup Mercun Di Mahkamah Jadi Viral

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Rakaman video amatur memaparkan ugutan sekumpulan empat lelaki untuk meletupkan mercun di mahkamah menjadi viral dalam media sosial hari ini.

 

Video pendek dengan durasi 61 saat itu dimuat naik ke YouTube oleh individu yang memiliki akaun ‘isis malaysia 69’ semalam.

 

Yang menghairankan, jurucakap kumpulan terbabit membaca kenyataan yang mengandungi ugutan itu sambil memegang sekeping kertas yang memaparkan gambar pelakon, Nora Danish.

 

Lelaki itu berkata, mereka akan meletupkan mercun di mahkamah pada pukul 11.30 malam Rabu ini sebagai simbolik bantahan terhadap institusi kehakiman dan sistem demokrasi di negara ini.

 

Dia juga memberitahu, tindakan itu hanya permulaan dan mereka akan bertindak lebih jauh lagi.

 

Semua lelaki terbabit memakai baju berwarna hitam dan tiga daripada mereka melindungi identiti masing-masing dengan topeng muka berwarna hitam.

 

Salah seorang daripada mereka memegang botol disumbat kain putih yang kelihatan seperti ‘molotov cocktail’ manakala tiga lagi botol serupa diletakkan di atas meja yang beralaskan kain putih.

 

Jalur Gemilang turut kelihatan pada dinding di lokasi rakaman dilakukan.

 

Rakaman video itu seterusnya menjadi viral melalui Facebook dan Twitter serta dipaparkan oleh beberapa laman blog termasuk ‘Belia Bangkit!!!’ (http://beliabangkit.blogspot.com) dan ‘Badut Rakyat’ (http://badutrakyat.blogspot.com).

 

Rata-rata pengguna media sosial serta pengunjung laman-laman blog terbabit meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang membuat ugutan tersebut. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.