Timbalan MIC Mahu Cabar Kerusi Presiden

Kuala Lumpur – Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini menyatakan hasratnya bertanding kerusi nombor satu parti, menentang penyandangnya Datuk Seri G Palanivel.

 

Mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli yang katanya rata-rata tidak lagi mempercayai kepimpinan sekarang, beliau juga menyarankan Palanivel memberi laluan mudah kepadanya dengan mengundur diri secara sukarela.

 

“Saya membuat keputusan ini setelah melihat keadaan MIC sekarang, ia dibuat atas kepentingan masyarakat India, ahli MIC dan bagi memastikan masa depan yang cerah untuk parti,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

 

Terdahulu, Subramaniam membuat pengumuman bertanding kerusi presiden itu di hadapan lebih 1,000 perwakilan MIC yang hadir dalam satu perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadapnya.

 

Pengumumannya mendapat sokongan dari pemimpin lain yang hadir termasuk Naib Presiden G Saravanan, Ketua Wanita Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda Sivarraajh Chandran.

 

Dengan pengumuman itu, ini kali pertama dalam tempoh 22 tahun kerusi presiden MIC itu dipertandingkan. Semalam, Palanivel mengesahkan hasrat mempertahankan kerusi itu.

 

Subramaniam berkata, tindakan itu dibuat kerana merasakan ada keperluan besar untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan MIC dan bimbang akan hilang kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika ia tidak selesai sekarang.

 

“Kalau hendak berjaya PRU14 kena ada usaha kukuhkan parti mulai pada hari ini. Kalau tidak selesaikan dalam tempoh setahun, akan datang susah hendak bawa parti ke hadapan,” katanya.

 

Mendakwa memperoleh sokongan dua pertiga akar umbi, beliau yang juga menteri kesihatan mencadangkan Palanivel meletak jawatan secara sukarela supaya tidak ada perebutan jawatan tertinggi parti dalam pemilihan semula yang akan diadakan kelak.

 

Katanya, sokongan yang diterimanya melibatkan 102 daripada keseluruhan 150 ketua bahagian MIC serta 2,500 daripada keseluruhan 3,700 cawangan parti seluruh negara.

 

“Ini lebih daripada majoriti. Apa yang saya boleh lihat, saya mendapat sokongan majoriti untuk bertanding dalam pemilihan ini.

 

“Kalau Palanivel ambil iktibar, dan secara kompromi mahu mengumumkan satu keputusan menawarkan diri untuk berundur daripada jawatan presiden, lebih senang. Perkara ini kita boleh selesaikan sendiri.

 

“Kalau tidak, kita akan bertanding,” katanya.

 

Katanya, jumlah kehadiran besar ketua cawangan dan bahagian MIC yang hadir hari ini membuktikan akar umbi sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi yang ada sekarang.

 

Ia akibat krisis dalaman parti sehingga memaksa Pertubuhan Pendaftar (RoS) membubarkan semua pemegang jawatan pada peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan mengarahkan pemilihan semula, katanya.

 

Subramaniam berkata, apabila pemimpin akar umbi melihat krisis dalam kepimpinan parti, mereka hilang kepercayaan terhadap pemimpin.

 

“Dalam sejarah MIC, tidak pernah sejumlah besar ketua cawangan dan bahagian datang ke perjumpaan dengan timbalan presiden.

 

“Kalau mereka datang secara sukarela, bermaksud dalam hati mereka tidak puas hati,” katanya.

 

Subramaniam dalam perjumpaan hari ini turut menjelaskan kepada akar umbi yang barisan kepimpinan CWC yang dilantik pada 2009 akan mentadbir MIC buat sementara waktu sehingga selesai pemilihan semula.

 

Perkara itu mendapat persetujuan sebulat suara ahli parti yang hadir.

 

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak esok bagi menyampaikan hasratnya bertanding dalam pemilihan pada Mei akan datang.

 

Mengulas tindakan Palanivel menggantung keanggotaan A Sakthivel, Senator Datuk Jaspal Singh dan Datuk V Mogan selama 12 bulan kerana mengadakan mesyuarat “haram”, Subramaniam berkata keputusan itu tidak adil.

 

Katanya, memandangkan RoS mengiktiraf barisan CWC 2009, mereka berhak menghadiri mesyuarat itu.

 

“Tidak ada asas untuk pergantungan ini dan mereka mesti membuat rayuan. Kita akan beri sokongan penuh kepada mereka kerana ia tidak selaras dengan keputusan yang dibuat RoS,” katanya.

 

Sementara itu, Saravanan ketika ditanya sama ada mahu meneruskan hasratnya bertanding presiden, beliau menyatakan sokongan penuh kepada Subramaniam dan mahu isu kerusi presiden diselesaikan segera.

 

“Saya sokong Subramaniam sepenuhnya. Kalau isu presiden selesai, semua masalah selesai. Masalah kita ialah presiden,” katanya.

 

Saravanan pada 3 Februari lalu dilaporkan berkata beliau mungkin bertanding jawatan timbalan presiden atau presiden sekiranya mendapat mandat dan sokongan akar umbi.

 

Pemilihan semula MIC akan bermula Mei hingga hujung Julai, melibatkan peringkat cawangan pada April, bahagian pada Mei dan peringkat pusat pada Jun dan Julai. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.