Subramaniam Setuju BN Campur Tangan

PUTRAJAYA 16 Feb. – Timbalan Pre­siden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bersetuju dengan cada­ngan yang diusulkan oleh pemimpin utama Barisan Nasional (BN) supaya ditubuhkan sebuah sekretariat bagi mengatasi kemelut yang sedang melanda parti terbesar kaum India itu.

 

Beliau berkata, sekretariat tersebut akan berperanan sebagai fasilitator termasuk memastikan surat mesyuarat diserahkan kepada ke­semua 32 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih pada pemilihan parti 2009.

 

Bagaimanapun, tegasnya, sekretariat tersebut tidak akan ditugaskan untuk mentadbir parti tersebut, sebaliknya hanya bertindak sebagai fasilitator.

 

“Pagi tadi saya telah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Bagaimanapun, dalam pertemuan itu, Presi­den parti, Datuk Seri G. Palanivel tidak hadir sama kerana isterinya mengalami masalah kesihatan.

 

“Dalam mesyuarat itu kami bersetuju supaya MIC menyelesaikan kemelut yang sedang melanda parti ini dengan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Bagaimanapun, saya menafikan terdapat perjanjian yang membenarkan parti komponen BN lain mentadbir MIC secara sepenuhnya,” katanya dalam satu ke­nyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Tengku Adnan memaklumkan, dalam per­temuan yang turut dihadiri Najib dan Muhyiddin itu, mereka telah mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah sekretariat yang dianggotai oleh parti komponen BN lain bagi mentadbir MIC sehingga pemilihan semula parti tersebut yang dijadualkan antara April hingga Julai ini.

 

Cadangan tersebut timbul selepas berlaku pergeseran terbaru antara Palanivel dan Subramaniam semalam selepas masing-masing mencapai persetujuan untuk mengadakan pemilihan semula sebelum ini.

 

Sementara itu, Subramaniam berkata, dalam pertemuan itu juga, beliau bersetuju supaya kesemua 32 CWC yang dipilih pada 2009 perlu menubuhkan sebuah CWC sementara bagi melaksanakan pemilihan semula.

 

Pada masa sama, katanya, ahli yang dilantik sebelum ini tidak akan dimasukkan dalam CWC sementara itu seperti diarahkan oleh ROS.

 

“Kami berpandangan CWC sementara ini mampu untuk mengendalikan pemilihan semula dan menyelesaikan masalah yang sedang melanda MIC.

 

“Sebagai seorang pemimpin bagi parti kaum India ini, saya tidak akan sama sekali berkompromi terhadap integriti dan maruah parti biar pun sedang berdepan dengan saat sukar,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.