Selangkah Buat SSTMI-Thunderbolt

SAINGAN Liga Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) 2015 sudah hampir ke kemuncaknya di mana perlawanan terakhir akan berlangsung pada 27 Februari ini.

 

Bagi pasukan hoki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI-Thunderbolt), mereka sudah selangkah untuk menjuarai Divisyen Satu, MJHL.

 

Keputusan seri sudah cukup buat SSTMI-Thunderbolt berdepan SSP/MSP/Thunderbold dalam perlawanan terakhir liga itu nanti.

 

Jika ia berlaku, SSTMI-Thunderbolt akan mengesahkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

 

Namun ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana SSP/MSP/Thunderbold juga berdepan misi merebut tempat keempat dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (Senior) untuk layak ke Piala Milo MJHL.

 

Bagi Pengurus pasukan SSTMI-Thunderbolt, Adam Izamry Idrus, dia yakin dengan kemampuan pemainnya untuk mencapai sasaran awal yang ditetapkan musim ini iaitu untuk merangkul juara berganda.

 

“50 peratus sasaran kami musim ini sudah hampir tercapai. Semuanya berkat usaha pemain dan jurulatih.

 

“Faktor juara empat kali berturut-turut juga memainkan peranan penting untuk kami merangkul kejuaraan kelima,” katanya.

 

Adam Izamry berkata, keyakinan untuk mereka muncul juara musim ini adalah selepas menumpaskan seteru utama, UniKL Young Guns, 4-2, di stadium keramat mereka di Taman Daya, Jumaat lalu.

 

“Ia merupakan perlawanan yang hebat dan adalah aksi yang terbaik buat kami.

 

“Sebelum ini kami seri 2-2 menentang pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan keputusan itu menaikkan semangat kami berdepan Young Guns,” katanya.

 

MBPJ harap keajaiban

 

Bagi skuad MBPJ, mereka masih mempunyai peluang untuk merampas gelaran juara MJHL daripada SSTMI-Thunderbolt walaupun sedar peluang itu tipis.

 

Mereka perlu menang ke atas Young Guns sambil mengharapkan SSTMI-Thunderbolt tewas dalam perlawanan akhir itu nanti.

 

Namun, berdepan Young Guns bukan perlawanan yang mudah kerana lawan mereka itu dibarisi pemain muda yang berkualiti.

 

“Semua boleh terjadi dalam perlawanan akhir itu nanti. Kami hanya perlu menang dan harapkan SSTMI-Thunderbolt tumpas.

 

“Keajaiban boleh berlaku dan kami akan berusaha sebaik mungkin berdepan Young Guns,” kata Pengurus Pasukan MBPJ, Zanal Abidin Ismail.

 

Katanya, sebelum kejohanan ini bermula, MPBJ menyasarkan kedudukan lebih baik berbanding musim lalu iaitu menghuni tangga ketiga dalam saingan liga.

 

“Jika muncul naib juara, sasaran kami sudah tercapai. Andai juara, ia pencapaian yang harus dibanggakan,” katanya.

 

Young Guns mahu perbaiki kesilapan

 

Bagi Young Guns, perhitungan berdepan MBPJ nanti merupakan penentu untuk mereka mengesahkan kedudukan sebagai naib juara.

 

Jurulatih Young Guns, I Vikneswaran menjelaskan, pasukannya perlu memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh rehat panjang ini sebelum berdepan MBPJ.

 

“Dalam saingan MJHL, SSTMI-Thunderbolt dan MBPJ mempunyai produk-produk pemain yang terbaik.

 

“Di situ, ia bukan tugas mudah buat kami berdepan MBPJ. Mereka mempunyai pemain yang pernah memenangi kejuaraan liga sementara kami tidak pernah melakukannya. Mental kami perlu kuat dalam perlawanan akhir itu nanti,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.