Pas Gesa PKR, DAP Tidak Sertai Program Anjuran Pasma

SHAH ALAM  – Pas Selangor meminta pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di negeri ini supaya tidak menyertai sebarang program anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

 

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, langkah tersebut bertujuan mengelak kerjasama pakatan pembangkang yang sedia terjalin daripada terjejas di­sebabkan isu Pasma.

 

Menurutnya, meskipun menjadi hak kepada mana-mana individu sama ada untuk terlibat atau tidak dalam pertubuhan bukan kerajaan itu tetapi isu berkaitan Pasma seharusnya diselesaikan oleh Pas secara dalaman.

 

“Saya berharap pemimpin PKR dan DAP Selangor tidak akan terlibat dengan program-program Pasma.

 

“Pakatan pembangkang di Selangor mempunyai tugas untuk memacu pembangunan negeri ini ke hadapan di samping memberi pembelaan kepada seluruh rakyat dan kerjasama yang erat dalam kalangan parti-parti Pas, PKR dan DAP dapat menjadikan hasrat ini satu realiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pasma yang diketuai Presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos lalu ketika Pas dilanda konflik dalaman yang serius ekoran perbezaan pendirian dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

 

Pasma yang didalangi kumpulan Anwarinas dan sering mengkritik pimpinan tertinggi Pas termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak disenangi oleh golongan ulama di dalam parti.

 

Iskandar menambah, persefahaman pakatan pembangkang di Selangor adalah lebih penting bagi menyediakan keperluan kepada rakyat.

 

“Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab yang besar dan tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha-usaha untuk memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.