PAS Akui DAP Punyai Kelebihan, Mampu Gantikan Kerusi Ketua Pembangkang

Kuala Lumpur – PAS mengakui DAP mempunyai kelebihan bagi menggantikan kerusi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Mustafa Ali.

 

Setiausaha agung PAS itu berkata berikutan jumlah kerusi Parlimen yang tertinggi diperoleh DAP di Parlimen berbanding PKR dan PAS.

 

“Dari sudut itu, DAP ada kelebihan. Namun kita akan bincang dahulu dalam mesyuarat akan datang antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR). PAS sendiri tiada masalah dengan sesiapa pun yang akan terpilih jadi ketua pembangkang.

 

“Dari segi sejarah perjuangan dalam PR, memang kita sudah sepakat bahawa kerusi ketua pembangkang milik PKR,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

 

Menurut Mustafa, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR bagi membincangkan perkara itu berkemungkinan besar diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

 

“Dalam mesyuarat itu, setiap parti bebas menyenaraikan nama calon untuk jadi ketua pembangkang. Kita akan ambil pendapat sebelum buat keputusan.

 

“Dahulu semasa Anwar jadi ketua pembangkang, memang DAP sudah ada bilangan kerusi yang banyak, tetapi atas semangat dalam PR, Anwar tetap pilih jadi ketua pembangkang. Kali ini kita tengok pula macam mana,” katanya sambil berkata PAS masih belum memutuskan sama ada meletakkan calon jawatan ketua pembangkang.

 

Sebelum ini, wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berpendapat sekiranya mahu kekal kelangsungan dalam politik tanah air, PR perlu segera melantik Mohamed Azmin Ali sebagai ketua pembangkang kerana menteri besar Selangor itu mampu meremajakan gabungan itu.

 

Kadir dalam tulisan blognya Jumaat lepas berkata, meskipun Lim Kit Siang yang merupakan veteran DAP antara paling sesuai untuk jawatan tersebut, ahli PAS berkemungkinan akan terasa disisihkan sekiranya presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dipertimbangkan.

 

“Yang lebih layak adalah Lim Kit Siang kerana partinya mempunyai paling ramai anggota dalam Parlimen di kalangan komponen PR, iaitu 38, tetapi kalau Abdul Hadi tidak dipertimbangkan, ahli PAS pula akan berasa disisihkan.

 

“Kalau Mohamed Azmin dilantik Ketua Pembangkang ia akan memudakan lagi kepemimpinan PR dan ini akan memberi rangsangan tambahan kepada generasi muda menyokong PR,” kata bekas ketua pengarang kumpulan akhbar The New Straits Times itu. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.