Mentor Legend: Debaran Kian Kencang

Debaran menunggu juara Mentor Legend semakin terasa apabila protoge Aina, Sarah dan Azmil diumumkan berjaya ke pentas akhir program realiti itu yang bakal berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad ini.

 

Juara bagi persembahan minggu ini disandang protoge Amy Search, Sarah yang tampil dengan lagu Single Ladies, Love On Top dan Tunggu Sekejap.

 

Keputusan diumumkan pengacara Awal Ashaari pada akhir persembahan konsert pusingan separuh akhir kedua Mentor Legend, malam kelmarin.

 

Pusingan itu turut menyaksikan protoge Nadeera, Tuah serta Fahmie tersingkir.

 

Seperti minggu lalu, markah keseluruhan protoge bagi persembahan peringkat separuh akhir kedua masih dirahsiakan dan hanya markah pemberian juri awam serta khidmat pesanan ringkas (SMS) diumumkan.

 

Pernah tersingkir dan kemudian diserap semula ke program itu, Aina berjaya membuktikan kebolehannya kepada juri.

 

Pada konsert pusingan separuh akhir kedua, protoge Ella itu mendendangkan lagu secara medley iaitu Stay, If I Were A Boy dan Cinta.

 

Mengulas keputusan itu, Ella mengakui terharu namun pada masa sama gementar memikirkan persembahan peringkat akhir pada minggu depan.

 

“Perasaan saya sekarang kacau-bilau sebaik Aina diumumkan berjaya ke final.

 

“Bagi saya, semua protoge berbakat dan pintu rezeki terbuka luas untuk mereka,” katanya.

 

Ujar penyanyi itu lagi, dia dan protogenya belum membuat pilihan lagu untuk persembahan final lagi.

 

Sementara itu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani mahu menggunakan peluang yang diberikan untuk memberi persembahan yang sebaik mungkin.

 

“Mengenai pemilihan lagu, saya dan mentor akan berbincang kerana ada lagu yang tidak sesuai,” katanya.

 

Nadeera bakal memiliki album

 

Melihat positif terhadap penyingkiran anak didiknya Nadeera, Zainal Abidin mendedahkan tidak kecewa terhadap keputusan pihak juri.

 

Malah, Zainal sudah pun mempunyai perancangan untuk menghasilkan album bagi protoge itu.

 

“Album ini akan memuatkan lagu Melayu yang dinyanyikan Nadeera sepanjang menyertai program ini manakala lima lagi adalah lagu baru.

 

“Lagu daripada persembahan adalah yang berkonsepkan jazz, asli dan keroncong. Saya berbuat demikian kerana mahu peminat terus mengingati Nadeera,” katanya.

 

Dalam pada itu, Zainal berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak didiknya pada konsert itu.

 

“Nadeera memiliki bakat luar biasa dan bukan mudah untuk mencari penyanyi sepertinya.

 

“Bagaimanapun, saya tidak menaruh harapan tinggi untuk dia ke final dan menganggap ini adat pertandingan yang ada kalah dan menang,” katanya.

 

Sementara itu, Nadeera berkata sejak menyertai Mentor Legend, dia berjaya mengikis sikap pemalu dan kini lebih yakin diri.

 

“Sebelum ini, saya takut membuat persembahan di khalayak ramai namun dengan bimbi­ngan Zainal, saya berjaya mengatasi masalah itu,” katanya.

 

Pada konsert itu, Nadeera menyampaikan lagu Fatwa Pujangga dan Wrecking Ball.

 

Terdahulu, peringkat separuh akhir kedua menyaksikan keenam-enam protoge menyanyikan lagu medley.

 

Acara membuka tirai dengan Fahmie mempersembahkan lagu I Believe I Can Fly dan Lelaki Ini.

 

Tuah pula mendendangkan lagu Nuri, Permata Pemoton Permata dan Kemelut Di Muara Kasih.

 

Manakala Azmil menghiburkan penonton dengan lagu Sedang Apa Dan Di Mana diikuti Inikah Cinta.

 

Cakra Khan gegar pentas final

 

Mengenai konsert akhir pula, Penerbit Mentor Legend, Ahmad Shaifullizam berkata, finalis dikehendaki membuat tiga persembahan iaitu secara solo, duet dengan mentor masing-masing dan artis jemputan.

 

“Acara akan membuka tirai dengan penampilan istimewa finalis bersama bekas protoge. Selain itu finalis juga dikehendaki menyanyikan lagu bonus,” katanya.

 

Menurutnya, penyanyi terkenal Indonesia Cakra Khan akan memeriahkan acara dengan persembahannya selain turut bertindak sebagai juri jemputan.

 

“Manakala juri awam akan dipilih dalam kalangan profesional dalam industri muzik tanah air seperti penyanyi, komposer atau pun penulis lirik,” katanya.

 

Konsert Akhir Mentor Legend akan bersiaran menerusi saluran TV3 secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada Ahad ini, jam 8.30 malam.

 

Peminat yang ingin menyaksikan acara itu secara langsung boleh mendapatkan tiket di pondok pengawal keselamatan, Sri Pentas Bandar Utama bermula jam 10 pagi hari ini.

 

Bayaran sebanyak RM20 dikenakan bagi setiap tiket dan wang itu akan disalurkan untuk Tabung Bersamamu.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.