Layanan VVIP Untuk Anwar Hadir Ke Mahkamah Tak Bergari & Tanpa Pakaian Banduan

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

 

Beliau diiringi pihak polis dari Penjara Sungai Buloh, tempat di mana beliau dipenjarakan selama lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Setibanya di mahkamah Anwar dilihat memeluk beberapa orang penyokongnya sambil disaksikan isterinya Datin Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain.

 

Sesuatu yang cukup menarik perhatian orang ramai di mahkamah tadi apabila melihatkan kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada Anwar apabila tangan beliau tidak digari sebagaimana kebiasaannya bagi banduan yang lain.

 

Anwar juga tampil di mahkamah tanpa perlu memakai pakaian rasmi penjara tidak seperti resam seseorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara. Dari penampilannya yang berkemeja putih berseluar hitam Anwar kelihatan sama seperti orang lain.

 

Difahamkan menjadi amalan biasa bagi pihak penjara mewajibkan setiap banduan yang dibawa keluar dari penjara bagi menghadiri sebarang kes perbicaraan atau rawatan di hospital memakai pakain penjara serta tangannya bergari.

 

Bagaimana pun dalam kes membabitkan Anwar, nampaknya amalan sedemikian dikecualikan. Mungkin Anwar terkecuali disebabkan status beliau sebagai seorang banduan yang pernah menjadi Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

 

Pengecualian ini boleh disifatkan umpama layanan bertaraf VVIP untuk Anwar, sesuatu yang tidak mungkin dinikmati banduan yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.