Krisis MIC: BN Hanya Beri Cadangan – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Penubuhan Sekretariat Khas Barisan Nasional (BN) bagi membantu MIC menyelesaikan isu parti itu merupakan cadangan dan terpulang kepada MIC untuk terima atau tidak, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Beliau berkata, tidak timbul isu bahawa BN mahu mengambil alih MIC kerana BN tidak berminat untuk mencampuri urusan parti itu.

 

“Kita hanya cadangkan, terserah kepada mereka…kerana kita hanya nak menyelesaikan masalah dan bukan nak campur tangan masalah MIC.

 

“Kami tidak berminat langsung untuk mengambil alih urusan MIC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Premis kepada Pengusaha Hotel Bajet, di sini pada Selasa.

 

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sekiranya MIC tidak mahu menerima cadangan BN berhubung penubuhan sekretariat berkenaan, maka mereka perlu akur dengan keputusan yang diputuskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

 

“Saya sebagai setiausaha BN hanya nak tengok semua parti komponen ikut undang-undang yang ditetapkan, kita nak semua akur dengan undang-undang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang tidak bersetuju dengan cadangan BN menubuhkan sekretariat bagi membantu menyelesaikan kemelut dalam parti itu.

 

Mesyuarat peringkat tinggi BN pada Isnin mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat khas bagi membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan MIC.

 

Tengku Adnan berkata, sekretariat itu dicadang ditubuhkan secepat mungkin dan dipengerusikan Setiausaha Kerja BN Datuk Abu Khamis serta dianggotai parti komponen BN yang tidak berkaitan dengan kaum India seperti MCA dan Gerakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.