Kes Kereta Dibakar : Hatta Enggan Kaitkan Pemuda PAS Pahang

Kuala Lumpur – Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli enggan mengaitkan mana-mana pihak, termasuk Pemuda PAS Pahang dalam insiden bakar keretanya pada Sabtu lalu.
Beliau sebelum ini dikecam sesetengah pihak dalam PAS kerana didakwa terlibat dalam cubaan menggulingkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Tiada kena-mengena dengan Pemuda PAS Kuantan dan nak jatuhkan Hadi. Saya tak mahu buat sebarang spekulasi.
“Biar pihak polis yang siasat, sekarang Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) akan kenalpasti punca kejadian. Saya yakin mereka akan lakukan siasatan yang terbaik berdasarkan rakaman kamera litar tertutup,” katanya yang ditemui di sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Lembah Pantai, pagi tadi.
Awal pagi Sabtu lalu, kereta pacuan empat roda milik Ahli Parlimen Kuala Krai itu ditemui terbakar dihadapan rumahnya di Hulu Kelang.
Ia didakwa dilakukan oleh penyokong Hadi selepas mendakwa Hatta dan beberapa pemimpin di dalam parti Islam itu terlibat dalam satu konspirasi menggulingkan Hadi.
Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pemuda PAS Pahang berhubung insiden ini masih gagal.
Hatta dalam pada itu menjelaskan keadaan keretanya masih baik dan berseloroh ia boleh digunakan untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh kelak.
Dua minggu lalu sekumpulan ahli PAS mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat PAS bagi mendesak Hatta meletak jawatan. – AntaraPos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.